Pasukan Negeri Sembilan memulakang langkah awal untuk mempersiapkan pasukan menjelang saingan Liga Malaysia musim hadapan dimana mereka dikhabarkan berjaya mendapatkan khidmat bekas pemain skuad kebangsaan iaitu Fadhli Shas.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena. Zulhemi Zainal Azam dimana Fadhli bakal menjadi pengganti kepada Khuzaimi Piee yang dijangka bakal berhijrah ke pasukan lain pada musim 2023.

Musim lalu, Fadhli beraksi bersama Melaka United dan pasukan itu tidak akan beraksi dalam saingan musim hadapan ekoran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan Melaka untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan mereka memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pengelola Liga Malaysia itu.

Selain Melaka, Sarawak ­United turut disingkirkan dari Liga Super musim depan walaupun tempoh seminggu diberikan badan First Instance Body (FIB) untuk kedua-dua pasukan menyerahkan beberapa dokumen.

Perkara ini memaksa pemain dan pegawai pasukan untuk mencari pasukan baharu dan Negeri Sembilan nyata memanfaatkan perkara ini dengan mendapatkan pemain yang mempunyai pengalaman luas dalam kacah liga tempatan seperti Fadhli.

Selepas tampil cemerlang bersama Negeri Sembilan sekaligus membuat penampilan bersama skuad kebangsaan dibawah kendalian Kim Pan-gon, banyak pasukan yang mahu mendapatkan Khuzaimi Piee bagi memperkuatkan barisan pertahanan dan beberapa pasukan besar dikaitkan dengan pemain berusia 29 tahun itu.

Antara pasukan yang berminat ialah Selangor dimana skuad Gergasi Merah mahu menyelesaikan masalah di bahagian pertahanan yang menghantui mereka sejak empat musim lalu dan Khuzaimi dilihat pemain yang tepat untuk menyelesaikan masalah tersebut.

Selain Khuzaimi, seorang lagi pemain Negeri Sembilan iaitu Syihan Hazmi turut dikaitkan dengan perpindahan ke pasukan besar musim hadapan setelah menampilkan prestasi cemerlang di pintu gawang skuad Hobin Jang Hobin.

Syihan dianggap sebagai salah seorang penjaga gol terbaik dalam negara ketika ini dan beliau juga menjadi calon untuk turun sebagai penjaga gol nombor satu pasukan negara pada saingan Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 yang akan bermula pada 20 Disember nanti.