Kedudukan Mat Zan Mat Aris sebagai ketua jurulatih Negeri Sembilan menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong skuad Hobin Jang Hobin apabila kelibat beliau tidak kelihatan dalam sesi latihan pasukan itu untuk menghadapi saingan Piala Malaysia musim ini.

Mat Zan yang pernah memimpin Kuala Lumpur menjuarai Piala FA pada 1999 serta menerajui Terengganu menjuarai Piala Malaysia pada 2001 dan membantu Melaka layak ke Liga Super pada 2016, dilantik sebagai jurulatih Negeri Sembilan pada akhir tahun lalu.

Namun ketiadaan beliau dikatakan mempunyai kaitan dengan kegagalannya membawa Negeri Sembilan beraksi dalam saingan Liga Super musim depan selepas sekadar menghuni di tangga keenam dalam saingan Liga Premier.

Menurut laporan daripada Sukan Sinar, Mat Zan telah menerima surat tunjuk sebab daripada Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS), Rabu, minggu lalu dan diberi tempoh 14 hari untuk menjawabnya namun enggan mendedahkan punca tindakan itu dikenakan ke atasnya.

65092233_1254433628065381_172112168618033152_n
FOTO: Negeri Sembilan FA

“Saya menghormati tindakan PBNS dan akan menggunakan saluran yang betul untuk menjawab surat tunjuk sebab itu. Buat masa ini, saya belum berbuat begitu, insya-Allah saya akan menjawabnya sebelum tamat tempoh diberikan.

“Apa yang boleh saya katakan, buat masa ini saya tidak terlibat dengan persiapan pasukan untuk menghadapi Piala Malaysia sebaik sahaja selesai tugas semasa liga tempoh hari.

“Saya tidak pasti kedudukan saya bersama pasukan dan serahkan kepada PBNS untuk menentukannya selepas saya menjawab surat tunjuk sebab itu,” ujar Mat Zan tanpa mahu mengulas lebih lanjut.

Sesi latihan pasukan itu kini dikendalikan oleh penolong jurulatih, Zaki Sheikh Ahmad, dibantu jurulatih skuad Piala Presiden, Sazali Saidon. Dalam saingan Piala Malaysia, mereka diundi dalam kumpulan A bersama juara Piala FA musim ini, Kedah, dan dua pasukan Liga Super iaitu Terengganu FC dan PKNS FC.

Sumber