Bekas pemain sayap skuad kebangsaan, Nazrin Nawi pada ketika ini kelihatan berada di Perak dan difahamkan sedang menyertai sesi latihan bersama sebuah kelab tempatan, Respect FC.

Respect FC merupakan pasukan dari Ipoh yang disahkan akan menyertai kempen Liga M3 2022 dengan saingan tersebut dijangka membuka tirainya pada Februari nanti.

Menarik untuk disaksikan apabila kelab ini kelihatan menampilkan beberapa pemain berpengalaman dalam kancah bola sepak tanah air seperti pakar sepakan percuma, Hafiz Kamal dan Fazrul Hazli Mohd Kadri serta beberapa pemain muda berbakat besar.

Walaupun masih tiada lagi pengumuman rasmi dibuat kelab tersebut mengenai Nazrin, sebuah laman Facebook yang sentiasa berkongsikan informasi mengenai bola sepak komuniti di Perak, Liga Lokal Perak memberikan bayangan tentang kehadiran pemain lincah berusia 33 tahun itu.

Tinjauan dibuat di laman Facebook Respect FC, Nazrin berkemungkinan diturunkan pada perlawanan persahabatan bertemu ATM JR FC, petang semalam dimana aksi berkesudahan dengan terikat tanpa jaringan.

Menguatkan lagi spekulasi tersebut, Hafiz Kamal juga pada beberapa hari lalu turut memuatnaik ‘Instagram Story’ yang menyaksikan Nazrin Nawi sedang berbual dengan penolong jurulatih Respect FC, Suhaimi Mat Lazim di Padang Ipoh.

Sekiranya benar Nazrin akan bersama Respect FC, ia sudah pasti menambah kekuatan kelab tersebut kerana seperti diketahui bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mempunyai kualiti yang sangat baik untuk memberikan sumbangan berkesan.

Seperti diumumkan Amateur Football League (AFL) sebelum ini, mereka mensasarkan penyertaan sebanyak 20 pasukan bagi tahun 2022 yang mana barisan pasukan bertanding akan dibahagikan kepada dua kumpulan dan perlawanan akan dijalankan secara timbal balik.

Empat pasukan teratas bagi kedua-dua kumpulan akan mara ke Suku Akhir Liga M3 2022 dan format perlawanan kalah mati dua pusingan akan digunakan pada pentas akhir pertandingan yang dijadualkan pada September 2022 di venue neutral yang mana dua pasukan teratas berpeluang untuk dipromosi ke Liga Premier 2023 anjuran MFL.