Isu naturalisasi pemain bola sepak di Malaysia menjadi satu topik utama selepas isu pemain Pahang, Mohamadou Sumareh gagal dalam permohonan awal untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan selepas menerima status warganegara Malaysia.

Dalam isu Sumareh, ada 2 perkara yang perlu diperhatikan dan diberikan pertimbangan rasional berdasarkan peraturan FIFA dan MFL, samada bagi skuad kebangsaan Malaysia atau dalam saingan liga tempatan.

Kita akan cuba melihat apakah peraturan diperingkat FIFA bagi skuad kebangsaan serta MFL diperingkat liga domestik.

(A) FIFA Eligibility Rules: Regulations Governing the Application of the Statutes

Berdasarkan peraturan ini, Perkara ke 7 – Acquisition of a new nationality , ada 4 syarat utama yang perlu dipenuhi bagi membolehkan seseorang pemain bola sepak yang mahu mewakili skuad kebangsaan.

  1. Dilahirkan dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
  2. Ibu atau bapa kandung pemain itu dilahirkan dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
  3. Nenek atau datuk pemain itu dilahirkan dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan.
  4. Pemain tersebut telah tinggal selama 5 tahun berturut-turut dalam kawasan dibawah gabungan persatuan bola sepak negara berkaitan selepas berumur 18 tahun.

(B) Malaysia Football League: Pendaftaran Sebagai Pemain Tempatan

Seperti yang dimaklumkan dalam artikel yang lepas, Ketua Pengawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam memberitahu dengan jelas bahawa mereka mempunyai peraturan bagi pemain naturalisasi bukan berdarah campuran yang telah ditetapkan 2 tahun yang lalu.

Peraturan itu menyebut, seseorang pemain naturalisasi bukan berdarah campuran, perlu memegang taraf kewarganegaraan baru selama minimum 5 tahun terlebih dahulu sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan liga domestik.

 

Berdasarkan kepada 2 perkara diatas, kita boleh lihat dan faham bahawa jika berpegang kepada prinsip peraturan yang ditetapkan, Mohamadou Sumareh boleh mewakili Malaysia diperingkat antarabangsa, tetapi masih perlu didaftarkan sebagai pemain import dalam liga Malaysia.

Mengikut kenyataan Kevin Ramalingam beberapa hari yang lalu, beliau terbuka untuk meneliti semula permohonan Pahang sekiranya mampu memberikan sebab kenapa Sumareh tidak perlu menunggu 5 tahun untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.

Sumber