Ketua jurulatih pasukan Kedah, Aidil Sharin Sahak mengakui nasib tidak menyebelahi pasukan bimbingannya apabila tewas kepada Terengganu FC dengan keputusan 2-0 pada perlawanan kumpulan A Piala Malaysia 2019 di Stadium Darul Aman semalam.

Menurut Aidil, Kedah mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol khususnya pada separuh masa kedua. Namun, kegagalan pemainnya menyempurnakan peluang terhidang menyebabkan mereka terpaksa menelan kekalahan buat kali pertama di laman sendiri musim ini.

Aidil Sharin
Sumber Gambar: Kedah FA

Aidil berkata: Saya rasa kami mempunyai banyak peluang terutamanya pada separuh masa kedua. Namun, kami gagal untuk memanfaatka peluang yang ada. Tetapi itu adalah perkara biasa dalam bola sepak. Kami kalah untuk kali pertama di Darul Aman. Mungkin nasib tidak menyebelahi kita malam ini (semalam),” kata Aidil.

Ketika ditanya mengenai sama ada faktor keletihan pemain menjadi punca kekalahan Kedah semalam, Aidil menegaskan mereka tidak boleh memberi alasan apatah lagi Kedah mencatat kemenangan pada perlawanan pertama ketika menentang Negeri Sembilan di Paroi minggu lalu.

“Kita tidak boleh beri alasan pemain keletihan. Kita sepatutnya bermotivasi tinggi selepas memenangi Piala FA dan menewaskan Negeri Sembilan pada perlawanan pertama. Pemain sudah berikan yang terbaik. Tetapi kita gagal memanfaatkan peluang. Saya akan mengenal pasti kesilapan yang terjadi pada perlawaan ini dan kami perlu bangkit jika mahu bangkit pada perlawanan akan datang,” tambahnya.

Penyerang import Terengganu FC, Kipre Tchetche menjadi wira apabila menjaringkan dua gol pada separuh masa kedua sekaligus memberikan kemenangan kedua untuk pasukan bimbingan Nafuzi Zain itu setelah membenam PKNS FC dengan keputusan 3-1 minggu lalu.

Malang buat Kedah apabila pemain pertahanan import, Renan Alves akan terlepas perlawanan peringkat kumpulan seterusnya apabila Kedah bakal berdepan PKNS FC kerana penggantungan setelah menerima dua layangan kad kuning dalam dua perlawanan.