Nasib Tan Cheng Hoe sebagai ketua jurulatih pasukan negara kini menjadi tanda tanya selepas Malaysia hanya mampu menamatkan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di peringkat kumpulan.

Malaysia tewas kepada Indonesia pada aksi terakhir kumpulan B dengan keputusan 4-1 sekaligus gagal mara ke peringkat separuh akhir dan Indonesia muncul sebagai juara kumpulan.

Dua jaringan Irfan Jaya dan masing-masing satu gol dari Pratama Arhan dan Elkan Baggott sudah cukup untuk memberikan kemenangan kepada Indonesia manakala R.Kogileswaran menjaringkan gol tunggal pasukan negara.

Kekalahan di tangan Indonesia ini nyata sukae diterima oleh ramai pihak khususnya peminat bola sepak tanah air. Bukan sahaja tewas kepada musuh tradisi, persembahan pemain pada aksi semalam dianggap antara yang terburuk dalam saingan yang berlangsung di Singapura.

Peminat bola sepak negara menggesa agar penilaian dibuat dengan kadar segera bagi memastikan perkara ini tidak berulang pada kejohanan akan datang.

Peminat turut menggesa perubahan perlu dilakukan terhadap pasukan negara baik dari pihak pengurusan, staf kejurulatihan dan juga barisan pemain yang dipanggil.

Banyak faktor yang menjadi persoalan ketika pasukan negara beraksi dalam saingan edisi kali ini antaranya bilangan pemain yang dibawa ke Singapura iaitu 24 pemain tatkala pasukan lain membawa lebih ramai pemain bagi memastikan pasukan sentiasa bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Selain itu, faktor persiapan singkat pasukan negara sebelum bertolak ke Singapura turut menjadi salah satu sebab mengapa skuad Harimau Malaya gagal untuk mencapai sasaran yang ditetapkan iaitu mara ke perlawanan akhir.

Setelah gagal dalam saingan Piala AFF Suzuki, fokus pasukan negara kini terarah kepada saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan bermula pada tahun hadapan.

Tan Cheng Hoe perlu mencari formula terbaik bagi memastikan pasukan negara bersedia sepenuhnya untuk menghadapi peringkat kelayakan sekaligus mengelakkan kegagalan dalam saingan Piala AFF dan saingan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pasa Jun lalu tidak berulang.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Safee Sali: Projek Naturalisasi Antara Punca Kegagalan Pasukan Negara

Malaysia Bawa Pulang -0.34 Mata FIFA Ranking Dari Kejohanan Piala AFF 2020 Di Singapura

Pemain Malaysia ‘Kaput’ Awal, Gagal Saingi Intensiti Dan Tempo Pasukan Indonesia Punca Utama ‘Barai’