Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menegaskan pihaknya akan menentukan nasib dua pasukan berstatus kelab iaitu PKNS FC dan Selangor United pada hujung tahun ini dan akan memilih kelab mana yang akan dijadikan sebagai feeder club kepada pasukan Selangor.

Menurut Amirudin, kerajaan negeri mempunyai hak untuk berbuat demikian kerana ketiga-tiga pasukan mendapat dana sebanyak RM15 juta masing-masing kepada pasukan Gergasi Merah dan PKNS FC selain RM3 hingga RM4 juta kepada Selangor United bagi saingan Liga Malaysia musim ini.

PKNS FC

Sumber Gambar: PKNS FC

“Mereka perlu ingat kelab (PKNS FC dan Selangor United) beroperasi menerusi dana kerajaan. Hujung tahun ini kita ada menentukan pasukan mana akan menjadi kelab feeder kepada Selangor,” kata Amirudin menurut laporan Berita Harian.

Amirudin turut mengingatkan yang mana ketiga-tiga pasukan perlu mempunyai pelan sekurang-kurangnya lima tahun untuk mereka menjana pendapatan sendiri dan tidak bergantung sepenuhnya terhadap dana daripada kerajaan negeri.

Sebelum ini, isu penggabungan tiga pasukan Selangor kembali dibangkitkan dimana PKNS FC dan Selangor akan digabungkan sekaligus menjadi feeder team untuk skuad The Red Giants. Namun, idea penggabungan ini mendapat maklum balas yang berbelah bahagi terutamanya daripada penyokong Selangor sendiri.

Sesetengah peminat Selangor mahu penggabungan ini dilaksanakan bagi memantapkan lagi pasukan Selangor, baik dari segi barisan pemain dan juga sumber kewangan memandangkan bajet yang diperuntukkan kepada dua pasukan sebelum ini akan digabungkan.

Pada masa yang sama, ada juga sebahagian penyokong yang tidak bersetuju PKNS FC dan Selangor United dijadikan sebagai feeder team kepada Selangor. Mereka berpendapat penggabungan ini akan menjejaskan peluang pemain khususnya pemain muda tempatan serta mencalarkan imej pasukan yang penuh dengan sejarah itu.

APA KOMEN ANDA?

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group