Pasukan Perak akan melayan kunjungan Pahang di Stadium Perak, Ipoh bagi perlawanan separuh akhir kedua saingan Piala FA 2019 dimana mereka membawa misi untuk bangkit setelah tewas dengan keputusan 3-1 pada perlawanan pertama.

Pada perlawanan yang akan dilangsungkan pada esok, posisi penjaga gol utama menjadi tumpuan ramai setelah pemain yang diturunkan untuk menjaga gawang Perak pada perlawanan pertama, Mohd Hafizul Hakim membuat kesilapan yang tidak sepatutnya dimana beliau tersilap langkah dalam membaca bola hasil daripada sepakan percuma Herold Goulon.

Setelah melepaskan tiga gol di Darul Makmur, ketua jurulatih Perak, Mehmet Durakovic membuat keputusan untuk merehatkan Hafizul dan menurunkan Khairul Amri Salehuddin dalam kesebelasan utama ketika menentang Felda United dalam saingan Liga Super 2019 di Jengka pada Selasa lalu.

Khairul Amri Salehuddin
Sumber Gambar: Perak TBG

Khairul Amri pada mulanya menampilkan aksi yang baik namun gawang beliau bocor ketika berbaki 10 minit masa sebenar permainan. Meskipun dibolosi dua gol, namun Perak berjaya mengekalkan 3 gol yang dijaringkan sebelumnya bagi mencatat kemenangan 3-2.

Melihat kepada keadaan semasa, Perak tidak boleh membiarkan kesilapan sepertimana yang dilakukan oleh Hafizul Hakim pada perlawanan pertama berulang kembali pada perlawanan kedua Sabtu ini. Ketinggalan dengan dua jaringan serta berdepan pasukan seperti Pahang membuatkan The Boss Gaurus perlu meminimalkan kesilapan dan memanfaatkan peluang dengan sebaniknya.

Satu lagi perlawanan separuh akhir akan berlangsung pada Ahad dimana Kedah akan bertandang ke Jengka bagi menghadapi Felda United. Kedah membawa bekalan tipis setelah mencatat kemenangan 1-0 pada perlawanan pertama.