Peminat siri komik/animasi ‘Captain Tsubasa’ memang ramai diseluruh dunia dan ada juga pemain bola sepak tersohor dunia yang mengakui komik ini memberikan mereka inspirasi dalam dunia bola sepak.

Bagi mereka tahu, Nankatsu SC nama sebuah pasukan yang tidak asing lagi kerana inilah pasukan yang dianggotai oleh Tsubasa Oozora, Genzo Wakabayashi, Ryo Ishizaki dan lain-lain yang menjadi kegilaan dizaman kanak-kanak.

Nankatsu

Dalam komik ‘Captain Tsubasa’ Nankatsu ini sebenarnya merupakan satu bandar fiksyen di Shizuoka prefektur, namun, tahukah anda bahawa Nankatsu SC ini sebenarnya memang wujud dalam dunia sebenar dan merupakan sebuah pasukan bola sepak amatur berpangkalan di Tokyo, Jepun.

Sejarah Kelab Bola Sepak Nankatsu SC Dalam Dunia Sebenar

Melihat kepada sejarah pasukan yang kini dikenali dengan nama Nankatsu SC ini, pada asalnya merupakan sebuah pasukan bola sepak alumni Sekolah Menengah Katsushika-ku Ritsu Tokiwa (Junior High School) dan menggunakan nama ‘Tokiwa Club‘  pada tahun 1983.

Pada tahun 1994, kelab ini telah berjaya mendaki sehingga ke divisyen 2 Liga Bola Sepak Tokyo, dan mengalami naik turun divisyen beberapa kali selepas itu.

Persatuan Bola Sepak Katsushika pada tahun 2008, telah setuju untuk memulakan satu projek untuk memajukan bola sepak dengan sasaran muncul sebagai salah sebuah kelab yang memiliki keahlian J.League – ‘Katsushika J.League Project‘.

Dan hasilnya pada tahun 2011, mereka berjaya mendapat kelulusan dan merupakan salah sebuah komponen dibawah projek tersebut serta menubuhkan Non-Profit Organisation (NPO) bagi mengawal selia operasi.

Katsushika Vitoado
Gambar pasukan Katsushika Vitoado pada 2013.

Nama pasukan telah ditukar dari Tokiwa Club kepada Katsushika Vitoado pada 2012.

Sekitar Oktober 2013, sempena perlantikan pelukis komik ‘Captain Tsubasa‘, Yoiichi Takahashi sebagai pengerusi kelab, semua telah bersetuju untuk menukar nama kelab kepada Nankatsu SC dan kekal hingga ke hari ini.

Apa Perkembangan Semasa Pasukan Nankatsu SC Sekarang?

Berdasarkan kajian yang dibuat, Nankatsu SC kini beraksi dalam saingan Divisyen 1, Tokyo Syakaijin Soccer League iaitu hierarki tertinggi liga bola sepak dalam prefektur Tokyo, yang juga merupakan liga divisyen 7 dalam hierarki bola sepak Jepun.

57170557_2600628810011178_3204783465312550912_o

Sehingga tarikh 19 Mei 2019, Nankatsu SC berada dikedudukan ke 5 liga mengumpul 10 mata dari 6 perlawanan, yang disertai oleh 15 pasukan lain seperti dalam carta dibawah.

Screenshot 2019-05-24 at 3.07.16 PM

Selaras dengan misi untuk menyertai J.League, pihak pengurusan kelab divisyen 7 dalam hierarki bola sepak Jepun ini telah menubuhkan sebuah syarikat bagi menguruskan semua operasi pasukan senior mulai tahun 2019.

60028565_2656339671106758_5217227148183470080_o
Pastinya anda kenal logo dibahagian belakang jersi Nankatsu SC ini kan?

Syarikat itu dikenali sebagai Nankatsu SC Co. Ltd, dengan modal berbayar sebanyak JPY10,000,000 atau sekitar RM382,594.46 dan hanya fokus kepada pasukan senior sahaja. Pasukan-pasukan lain seperti wanita, Junior Youth, Junior School adalah masih dibawah perhatian badan NPO yang ditubuhkan seperti diatas.

Screenshot 2019-05-24 at 3.35.09 PM

Gambar diatas adalah merupakan struktur keseluruhan kelab Nankatsu SC. Mereka memiliki 4 pasukan – Senior Lelaki, Wanita, Junior Youth dan Junior School. Mereka juga mengadakan kejohanan bola sepak berskala kecil dengan menggunakan nama Tsubasa Cup.

Kelab divisyen 7 ini juga berjaya mengeluarkan laporan kewangan tahunan mereka yang boleh dimuat turun dari laman web mereka.

Screenshot 2019-05-24 at 3.42.52 PM

Berdasarkan laporan kewangan terbaharu yang dikeluarkan, Nankatsu SC berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak JPY2,398,654 atau sekitar RM91,777.11 pada tahun kewangan yang lepas.

Inilah pasukan Nankatsu SC yang mungkin selama ini dirasakan satu fantasi tetapi ia sebenarnya wujud dalam dunia sebenar.