Baru-baru ini, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan pelantikan Kim Pan Gon dari Republik Korea sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan, Harimau Malaya bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Tan Cheng Hoe.

Menurut kenyataan rasmi daripada Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin, jurulatih yang berusia 53 tahun itu dijangka tiba di Malaysia pada awal Februari 2022 bersama-sama empat pembantunya iaitu seorang penolong jurulatih, seorang jurulatih penjaga gol, seorang jurulatih kecergasan dan seorang juruanalisis.

Bagaimanapun, nama individu yang menjadi pembantu Kim Pan-gon akan diumumkan kemudian selepas diteliti oleh Pengarah Teknikal FAM, Scott O’Donell.

Setiausaha agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar melalui kenyataannya dalam Bernama mendedahkan seorang jurulatih tempatan yang mempunyai ‘nama besar’ antara 10 individu yang berminat untuk jadi pembantu jurulatih skuad Harimau Malaya.

“Selain nama besar, nama kecil, nama panjang dan nama pendek pun ada. Memang ada beberapa calon yang minat untuk jadi pembantu ketua jurulatih dan perkara itu akan dimuktamadkan bila dia (Pan Gon) sampai sebab dia perlu berjumpa dan menemu bual calon sama ada memenuhi kriteria diinginkan.

“Tetapi nama-nama berkenaan akan disenarai pendek FAM sebelum kita beri kepada dia. Kemudian terpulang kerana dia adalah ketua jurulatih yang akan membuat keputusan siapa dia nak,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Saifuddin berkata, Pan Gon sendiri menyatakan hasrat beliau untuk mendapatkan khidmat seorang jurulatih tempatan bagi membantunya.

“Pan Gon ada minta FAM calonkan seseorang kerana dia memang nak seorang jurulatih tempatan. FAM tidak mempunyai masalah menyediakannya, kita akan cari yang sesuai. Proses itu akan dikendalikan TD (Pengarah Teknikal) dan beliau juga akan menyediakan nama-nama tersebut,” katanya.

Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihannya selepas itu akan mula memantau pemain-pemain sebaik saingan Liga Malaysia 2022 bermula bagi panggilan pertama kem latihan pusat pada Mac 2022 sebagai persiapan awal menjelang Kelayakan Piala Asia 2023, Jun depan.

Berdasarkan rekod, Pan Gon berjaya membimbing Hong Kong cipta sejarah buat pertama kalinya meraih pingat emas pada East Asian Games 2009 dan seterusnya menjuarai saingan kelayakan East Asian Football Championship 2010 untuk layak selaku empat pasukan terbaik ke pusingan akhir.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

FAM Dapat RM10 Juta Daripada Kerajaan Untuk Pembangunan Bola Sepak

Scott O’Donell Mahu FAM Lantik Jurulatih Import Untuk Skuad Harimau Malaya

Shukor Adan Antara 6 Individu Yang Dipilih Sertai Pasukan Bedah Siasat Laporan Prestasi Harimau Malaya