Naib juara Piala Malaysia 2018, Terengganu FC bakal memulakan saingan edisi kali ini tanpa kelibat 6 pemain utama pasukan kerana masalah kecederaan dan penggantungan perlawanan.

Ketua jurulatih pasukan, Nafuzi Zain bagaimanapun tidak berasa gusar dengan ketiadaan pemaim utama dan yakin pemain yang diturunkan pada perlawanan malam esok akan memberikan yang terbaik.

Nafuzi Zain
Nafuzi ketika perlawanan Liga Super 2019
Sumber Gambar: Terengganu FC

“Perancangan kita macam biasa biarpun tanpa enam pemain itu, namun ketiadaan Tuck sedikit dirasai kerana pemain itu adalah tonggak pasukan, harap pemain yang bakal diturunkan nanti mampu beraksi dengan baik,” kata Nafuzi menurut laporan Berita Harian.

Antara pemain tonggak yang tidak dapat diturunkan ialah ketua pasukan, Lee Tuck selepas beliau menerima kad merah pada aksi terakhir Liga Super menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), 19 Julai lalu.

Lima lagi pemain termasuk penyerang, Abdul Malik Mat Ariff, Mohd Ashari Samsudin, Khairul Anwar Shahrudin, Ahmad Syamim Yahya dan pemain tengah import dari Kemboja, Thierry Chantha Bin.

Lee Tuck
Sumber Gambar: TFC

Tambah Nafuzi, beliau lega Terengganu FC membuat kebangkitan pada penghujung saingan Liga Super dan berharap pasukannya dapat bangkit dalam saingan Piala Malaysia musim ini.

“Peningkatan prestasi itu adalah perkembangan positif terutama daripada aspek bertahan dan situasi ‘set- piece’ dengan kehadiran Serhii Andrieiev.

“Justeru pemain harus menyekat serangan lawan bermula dari barisan tengah bagi mengelak penyerang utama PKNS yang juga penjaring terbanyak Liga Super, Kpah Sherman daripada begerak bebas,” tambahnya.

Terengganu diletakkan dalam kumpulan A bersama PKNS FC, Kedah dan Negeri Sembilan.