Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain masih berpuas hati dengan aksi ditampilkan anak buahnya meskipun sekadar terikat 1-1 bertemu Sri Pahang FC di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Keputusan tersebut menyaksikan TFC kini ketandusan kemenangan dalam empat perlawanan akhir dimana kali terakhir mereka meraih tiga mata penuh adalah pada aksi ketiga kempen Liga Super 2021 bertemu Perak di Ipoh.

Ketinggalan pada minit ke-18 menerusi jaringan tonggak utama tuan rumah, Nor Azam Azih, TFC terlepas peluang untuk menyamakan kedudukan apabila ketua pasukan, Carli De Murga gagal menyempurnakan sepakan penalti ketika permainan memasuki minit ke-40.

Jordan Mintah bagaimanapun menyelamatkan maruah TFC apabila sepakan penalti kedua yang diambil selepas percubaan pertamanya dibatalkan pengadil perlawanan, kembali mengikat kedudukan.

“Untuk malam ini bagi saya secara keseluruhannya dari segi persembahan, saya tiada masalah dari segi persembahan. Kita tengok dari perlawanan sebelum ini [seri bertemu PJ City] memang jauh berbeza dengan apa yang ditunjukkan pemain malam ini.”

TFC

“Dari minit pertama perlawanan lagi memang dari segi keseluruhan kita merasakan kita memang lebih menguasai permainan tetapi terlalu banyak kita membazirkan peluang,” ujar Nafuzi pada sidang media selepas perlawanan.

“Dari segi tempo permainan kedua-dua pasukan juga agak bagus, kita tengok Pahang juga lebih baik pada perlawanan ini.”

“Bagi saya keseluruhan persembahan tiada masalah, memang kita mahukan tiga mata, kita usaha tetapi rezeki hanya dapatkan satu mata. Kita banyak mensia-siakan peluang.”

Selain itu, Nafuzi turut menegaskan beliau langsung tidak meletakkan sasaran buat skuad bimbingannya untuk merebut kejuaraan liga musim ini kerana elemen lain yang lebih menjadi tumpuannya.

“Dari awal musim saya rasa saya dah suarakan tentang perkara ini, saya tidak meletakkan sasaran untuk pasukan saya bagi merebut kejuaraan tetapi apa yang penting buat pasukan saya dari awal sehingga akhir adalah konsistensi,” tambah Nafuzi Zain lagi.

Keputusan seri itu juga menyaksikan TFC kini menduduki tangga keempat liga, ketinggalan lima mata di belakang pendahulu yang merupakan juara bertahan, JDT.

Teruskan membaca 3 artikel berkaitan bola sepak tempatan yang telah disediakan seperti dibawah.

Dollah Salleh:”Dengan 1 Gol Mereka Fikir Macam Dah Cukup, Mahu Striker Baharu Kalau Boleh Tukar.”

Karsten Neitzel Puji Persembahan Pemain Muda Selangor

Pusat Pakaian Hari-Hari Jadi Penaja Baharu Liga Malaysia

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group