Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain memuji prestasi yang ditampilkan oleh pemain importnya, David Da Silva pada aksi Liga Super menentang UiTM FC semalam.

Da Silva menjaringkan satu gol pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sekaligus membantu kemenangan 3-0 Terengganu dan membolehkan kelab itu melonjak ke tangga kedua dalam carta liga.

“Saya percaya dengan kebolehan yang dimiliki David Da Silva. Saya gembira kerana beliau dapat menjaringkan satu gol malam ini (semalam).

“Saya mahu beliau mengelak daripada mengalami kecederaan. Malam ini beliau dapat beraksi selama 90 minit walaupun pada 15 minit terakhir beliau mengalami kekejangan otot tetapi beliau perlu kekal kerana kami sudah membuat lima pertukaran,” kata Nafuzi pada sidang media selepas perlawanan.

Da Silva sedikit bergelut untuk tampil secara konsisten bersama Terengganu musim ini ekoran masalah kecederaan yang dialami oleh bekas pemain Persebaya itu.

Semasa ketiadaan Da Silva, Nafuzi menurunkan penyerang Terengganu II, Jordan Mintah dan pemain itu dapat menjalankan tugas dengan baik.

Pada perlawanan liga yang seterusnya, Terengganu akan membuat kunjungan ke Stadium MBPJ bagi berdepan dengan pasukan Selangor.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Jaringan Penalti Hadiahkan Kemenangan Buat JDT Ke Atas Kedah

Shahrul Saad Perkuatkan Benteng Pertahanan Sri Pahang?

Sri Pahang Tandatangani Empat Pemain Import Baharu