Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mahu pasukan bimbingannya mengulangi semula pencapaian mara ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia musim lalu dalam saingan edisi musim 2019.

Terengganu diundi dalam kumpulan A bersama juara 5 kali iaitu Kedah, PKNS FC dan pasukan dari saingan Liga Perdana yang juga bekas pemenang, Negeri Sembilan. Menurut Nafuzi, skuad bimbingannya bakal berdepan cabaran sukar dalam saingan peringkat kumpulan kerana masing-masing pasukan mempunyai kualiti yang tersendiri.

“Musim lalu kita mara ke perlawanan akhir. Sudah pasti saya mahu pasukan untuk mengulangi prestasi seperti musim lalu. Namun, Terengganu akan berdepan cabaran sukar di peringkat kumpulan kerana tiga pasukan lain mempunyai kualiti yang tersendiri.

“Kita perlu bersaing untuk mara ke pusingan kalah mati. Tekanan sudah pasti ada kerana kita merupakan finalis musim lalu. Piala Malaysia adalah satu platform yang berbeza berbanding Liga dan semua perlawanan merupakan satu cabaran yang perlu kami lalui,” kata Nafuzi Zain ketika ditemui pada majlis undian Piala Malaysia dan Piala Cabaran 2019 di Empire Damansara, semalam.

Pada masa yang sama, Nafuzi turut memberikan pujian terhadap anak-anak buah beliau kerana telah memberikan satu persembahan terbaik bagi memastikan Terengganu menamatkan saingan Liga Super musim ini di tangga ke-7.

Nafuzi Zain
Sumber Gambar: Terengganu FC

“Dari segi kedudukan, tidak dinafikan pencapaian musim lalu lebih baik kerana kita menamatkan saingan di tangga kelima berbanding tahun ini di tangga ketujuh. Namun, saya berbangga dengan prestasi pemain kerana mereka telah memberikan segala yang termampu. Saya harap Piala Malaysia kali ini kita dapat mara dengan lebih jauh,” tambahnya.

Saingan Piala Malaysia musim 2019 yang mengekalkan penggunaan format timbal balik akan membuka tirainya pada 2, 3 dan 4 Ogos ini.