Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain lega dengan kemenangan yang dicatatkan pada perlawanan pertama saingan TM Piala Malaysia 2021 selepas menewaskan Kuching City FC 2-0 malam tadi.

Perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak itu menyaksikan Lee Tuck membuka tirai jaringan pada minit ke-21 menerusi sepakan penalti dan Muhammad Faisal Abdul Halim menambah gol kedua ketika aksi memasuki minit ke-48.

Kemenangan itu juga sangat penting buat TFC apabila pasukan itu sudah lama tidak merasai kemenangan sejak empat perlawanan terakhir Liga Super sebelum ini.

Namun, berdepan Selangor FC pada Rabu ini dijangka tidak akan mudah meskipun Terengganu mempunyai rekod lebih baik dalam saingan liga selepas dua kali menewaskan skuad kendalian Karsten Neitzel pada musim ini.

“Memang satu kelegaan untuk kami, tahniah kepada semua pemain kerana memberikan persembahan terbaik malam ini.”

“Kita sememangnya memerlukan kemenangan ini selepas tak menang dalam empat aksi liga terdahulu, jadi sekarang dapat rasa balik nikmat kemenangan itu memang bagus untuk moral pemain saya.”

“Sekarang yang penting adalah berdepan Selangor, dan saya memang dah lupa pasal saingan liga sebab perlawanan sekarang adalah berbeza, di mana kita tahu keadaan Selangor sekarang lebih baik berbanding sewaktu yang kita menang dua perlawanan dengan mereka sebelum ini”, ujar Nafuzi Zain lagi.

Satu lagi perlawanan kumpulan B menyaksikan Selangor FC turut sama meraih tiga mata selepas menewaskan Perak FC dengan keputusan 1-0.

Empat perlawanan akan berlangsung pada malam ini membabitkan aksi kumpulan C di mana Kedah Darul Aman FC akan menentang Kelantan United FC dan Melaka United FC berdepan Negeri Sembilan FC.

Manakala bagi kumpulan D pula menyaksikan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) akan melawan Kelantan FC dan PJ City FC menerima kunjungan Sabah FC.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Terengganu seperti dibawah.

Nafuzi Impi Bawa Terengganu Ke Perlawanan Akhir Piala Malaysia 2021

Lee Tuck Tekad Bantu Terengganu Raih Kedudukan Dua Teratas

Pembatalan Piala AFC Tidak Lunturkan Semangat Terengganu