Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain mengakui kehangatan semakin dirasai dalam misi perebutan tempat kedua Liga Super tatkala Johor Darul Ta’zim (JDT) semakin hampir untuk mengesahkan kejuaraan buat kali kelapan berturut-turut.

JDT dilihat akan menoktahkan kejuaraan Liga Super 2021 sekiranya berjaya melakar kemenangan ke atas Sri Pahang FC pada aksi malam ini di Stadium Sultan Ibrahim.

Terengganu yang kini di tangga kedua hanya dibezakan dua mata sahaja dengan Kedah Darul Aman FC yang kini di kedudukan ketiga sekali gus bakal menjadi persaingan yang cukup sengit untuk perebutan slot ke Piala AFC tahun hadapan.

Namun, bagi Nafuzi, peluang untuk bergelar naib juara Liga Super bukan sahaja perlu tertumpu kepada dua pasukan ini.

Malah, pengendali berusia 42 tahun itu turut melihat ancaman daripada skuad lain seperti Selangor FC dan Penang FC juga tidak boleh dipandang mudah untuk mereka turut sama mengejar kedudukan liga dalam baki perlawanan yang ada.

“Bagi saya, perebutan untuk tempat kedua liga bukan hanya membabitkan Terengganu dan Kedah, tetapi Selangor, Penang dan Kuala Lumpur juga perlu diberi perhatian.”

“Kalau pasukan saya buat sebarang kesilapan, bila-bila masa sahaja pasukan lawan boleh mengatasi Terengganu dan sebab itu saya katakan kepada pemain untuk anggap setiap perlawanan selepas ini ibarat aksi final yang perlu kita menang.”

“Menentang Kuala Lumpur pada hari Ahad ini, tidak banyak perubahan yang dilakukan dan saya positif dengan semua pemain yang ada walaupun kita terpaksa terima kehilangan kapten, Carli de Murga”, tambah Nafuzi Zain lagi.

Teruskan membaca artikel lain yang telah kami sediakan seperti dibawah.

Selangor MAC, Pahang Rangers Bakal Berentap Rebut Piala Futsal AFF 2021

Rajpracha FC Umum Penyanyi Thailand Sebagai Pemain Baharu

Simpan Kepala Manusia Dalam Peti Ais, Bekas Pemain Bola Sepak Ghana Ditangkap