Ketua jurulatih Kedah Darul Aman (KDA FC), Nafuzi Zain menyedari hakikat bahawa masih terdapat banyak kekurangan dalam skuad kendaliannya.

Kekalahan 0-6 di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) malam tadi memberikan indikasi jelas kelemahan ketara ditampilkan barisan pemain Kedah terutamanya ketika beraksi dalam tekanan.

Meskipun hanya dibolosi satu gol pada babak pertama, pasukan tuan rumah nyata sukar digugat pada 45 minit berikutnya dengan tambahan lima lagi jaringan untuk melakarkan kemenangan kelapan berturut-turut dalam kempen Liga Super Malaysia 2023.

“Kita tewas agak besar, saya rasa perlawanan ini baguslah untuk pengajaran kita dan kita tahu dimana tahap kita berada,” ujar Nafuzi bercakap kepada Astro Arena selepas tamat perlawanan.

Kredit Foto: Kedah Darul Aman FC

“Saya rasa kita mencuba yang terbaik tetapi banyak kekurangan. Dari segi kelemahan-kelemahan yang kita nampak memang ketara dari segi individu dan berpasukan.”

“Kita tahu kita berjumpa pasukan sebagus JDT sekiranya kita memberikan ruang, kita melakukan kesilapan memang kita akan dihukum. Tetapi yang bagusnya untuk perlawanan ini kita dapat belajar.”

“Saya kena akui pemain saya agak gugup. Paling penting pemain kena berani untuk bermain. Kena ada keyakinan daripada segi mengawal bola, melakukan hantaran.”

“Sekiranya takut, gugup itulah masalah utama dan saya lebih mengenali pemain saya sekarang ini dengan perlawanan besar yang bertahap tinggi seperti ini dengan tekanan.”

“Kalau seorang pemain yang bagus, dia akan dapat bermain dalam keadaan tekanan,” tambah Nafuzi Zain lagi.

 

 

Sumber