Pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain meluahkan kekecewaan beliau terhadap mutu pengadilan selepas pasukan bimbingannya tersingkir daripada saingan Piala Malaysia 2019 apabila tewas kepada Johor Darul Ta’zim dengan keputusan 4-1 pada perlawanan suku akhir kedua.

Menurut Nafuzi, beberapa keputusan yang dibuat oleh pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria nyata membunuh semangat juang pemain Terengganu FC.

Nafuzi Zain
Nafuzi Zain memerhati sesi latihan pemain semalam. FOTO: TFC

“Keputusan yang dibuat membunuh motivasi pemain dan saya sendiri pernah berstatus sebagai pemain menjangkakan perlawanan yang bermutu tapi ia sekadar indah khabar dari rupa.

“Bagi saya kualiti permainan yang berintensiti hanya 20 minit sahaja dan selepas kami kena 2-0 tiada lagi keseronokan tatkala rentak permainan diganggu dengan beberapa keputusan yang saya sendiri anggap agak pelik.

“Saya tidak mahu mengkritik mutu pengadilan kerana saya bukanlah arif tapi berdasarkan pengalaman tatkala beraksi di Larkin, skrip yang sama akan berlaku. Keputusan yang dibuat oleh pengadil saya sendiri tidak faham. Mungkin pengadil keliru dalam situasi yang berlaku,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Terengganu FC vs Johor Darul Ta’zim
Sumber Gambar: MFL

Pada masa yang sama, Nafuzi menegaskan beliau berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh pemain meskipun pasukan mengalami kekalahan.

“Apapun bagi saya, apa yang dipamerkan oleh barisan pemain TFC dengan memberi tentangan sengit terhadap JDT, saya berpuas hati dan mereka sudah memberi yang terbaik namun saya tetap kecewa dengan kualiti pengadil,” tambahnya.

Baca artikel lain mengenai Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim di sini:

Piala Malaysia 2019: JDT Pasukan Pertama Tempah Tiket Separuh Akhir

Nafuzi Zain Optimis Terengganu FC Bangkit