Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain memuji persembahan yang ditampilkan oleh anak-anak buahnya pada perlawanan menentang Perak semalam.

Memurut Nafuzi, meskipun pemain sedikit kepenatan kerana jadual yang padat, namun mereka masih menunjukkan disiplin yang tinggi dan terus bekerja keras bagi menjaringkan gol serta menyekat pergerakan pemain lawan.

“Tahniah kepada pemain saya yang telah menunjukkan usaha dan karakter sebenar ketika berdepan dengan pasukan Perak.

“Kita sedar berdepan dengan Perak merupakan perlawanan yang sukar. Tiga mata yang sangat berharga untuk kami di tempat lawan.

“Kalau kita lihat, jadual padat dan pemain nampak sedikit kepenatan tetapi mereka bekerja keras, fokus dan berdisiplin,” katanya.

Tambah Nafuzi Zain, meskipun pasukannya meraih mata maksimun setelah tiga perlawanan liga, namun masih banyak yang perlu diperbaiki untuk menghadapi perlawanan seterusnya.

“Banyak yang kita perlu perbaiki terutama dari segi perkara yang mudah seperti kesilapan yang boleh memberi peluang kepada lawan menjaringkan gol.

“Bahagian pertahanan pula lebih baik berbanding ketika kami menentang Selangor. Kami tidak dibolosi jadi pemain pertahanan beraksi dengan baik,” tambahnya.

Kemenangan ke atas Perak membolehkan Terengganu menghuni tangga teratas liga, berkongsi tempat dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga meraih tiga kemenangan setakat ini.

Pada perlawanan Liga Super seterusnya, Terengganu akan berdepan Melaka United di laman sendiri manakala Perak akan berdepan dengan Kuala Lumpur City.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Perak Terkulai Di Laman Sendiri, TFC Kekalkan Momentum Kemenangan

TMJ: “Safawi Bukan Cedera ACL Tetapi Kita Akan Main Di ACL”

PJ City Buktikan Mampu Bersaing Dalam Liga Super Tanpa Pemain Import