Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain melahirkan rasa bangga dapat sebaris dengan jurulatih Liga Malaysia yang lebih berpengalaman apabila beliau dicalonkan dalam kategori Jurulatih Terbaik Anugerah Bolasepak Kebangsaan (ABK) 20 Virtual.

Nafuzi merupakan calon jurulatih tempatan paling muda dalam kategori Jurulatih Terbaik 2020 berbanding tiga lagi jurulatih tempatan lain iaitu Yusri Che Lah (Kelantan), Nidzam Adzha Yusoff (Kuala Lumpur) dan Manzoor Azwira, (Pulau Pinang) manakala enam lagi calon adalah jurulatih import iaitu Aidil Sharin Sahak (Kedah), Akira Higashiyama (Kuching FA), Benjamin Mora (Johor Darul Ta’zim), Frank Bernhardt (UiTM FC), Mehmet Durakovic (Perak) dan Michael Feichtenbeiner (Selangor).

Beliau yang kali pertama diberi kepercayaan menjadi ketua jurulatih nyata membuktikan kemampuannya untuk mengemudi pasukan dengan cemerlang pada musim ini apabila berjaya membawa skuad naib juara Piala Malaysia 2018 itu berada di tangga ketiga CIMB Liga Super 2020 selain turut layak beraksi di pentas Piala AFC 2021.

“Saya sebenarnya masih tidak sangka dapat tercalon apatah lagi ini musim pertama saya ditugaskan selaku ketua jurulatih dan dapat berada sebaris dengan calon-calon lain yang lebih berpengalaman cukup memberi saya seribu satu rasa.

“Saya akui bukan mudah untuk galas tugas sebagai ketua jurulatih, tetapi dengan kerjasama semua dalam pasukan TFC berjaya meletakkan kami di kedudukan ketiga liga dan ini adalah pencapaian yang memuaskan untuk kami semua.

“Calon pilihan yang saya rasa akan memberi saingan paling sengit adalah Mora dan Aidil kerana kita tahu bagaimana dua jurulatih ini membawa pasukan dengan cemerlang saban musim dan siapa pun yang akan dinobatkan Jurulatih Terbaik nanti, saya percaya yang dipilih itu adalah yang terbaik”, jelasnya.

Nafuzi Zain

Nafuzi Zain

ABK20 Virtual buat kali pertama membuka undian kepada penyokong dalam pemilihan pemenang bersama dengan pengundian juri professional yang terdiri daripada pemain, jurulatih dan media.

Undian sudah dibuka kepada semua penyokong bermula Isnin (21 Disember 2020) jam 10 pagi dan akan berakhir pada Jumaat (25 Disember 2020) 11.59 malam.

Penyokong boleh membuat undian dengan melayari laman web ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Penyokong Lawan Tidak Dibenarkan Masuk Ke Stadium Musim Depan

RASMI: JDT Umumkan Ketibaan Danial Amier, TMJ Puji Sikap Berani Sahut Cabaran Berada Di JDT

Khyril Muhymeen Sah Sertai Petaling Jaya City FC

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group