Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain mengakui bahawa pasukannya tidak berada dalam keadaan tertekan menjelang pertemuan final Piala FA 2022 bertemu Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.

Berdepan lawan yang merupakan gergasi bola sepak tanah air sudah pasti ramai menganggap skuad kendalian Hector Bidoglio itu sebagai pilihan utama untuk muncul juara edisi ke-31 ini.

Namun, Terengganu sudah merasai tekanan itu sejak daripada pusingan pertama lagi apabila terpaksa berhadapan dengan Negeri Sembilan dan kemudiannya Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Selangor menanti untuk mengesahkan slot final menjadi milik mereka.

Nyata bukan tugas mudah buat anak buah Nafuzi dalam merintis jalan ke pentas final Piala FA dimana kali terakhir Terengganu muncul pemenang adalah pada musim 2011.

Pemain Terengganu menjalani latihan di Stadium Nasional Bukit Jalil. Kredit Foto: Malaysian Football League

Selain itu, Nafuzi turut lega apabila kesemua pemainnya bebas daripada kecederaan dan boleh beraksi pada perlawanan malam esok.

“Saya tidak mempunyai rasa tekanan kerana apa yang kita sasarkan adalah untuk kita ke final. Jadi, Alhamdulillah kita mara ke final,” ujar Nafuzi bercakap dalam sidang media pra perlawanan di Stadium Bukit Jalil.

“Pergi ke final malam esok berjumpa dengan JDT seperti yang semua ketahui [kemampuan], apa yang penting pemain dapat menikmati ‘moment’ final dari segi penyokong, permainan.”

“Itulah yang paling penting. Begitu juga dengan peluang untuk mendapatkan piala, InsyaAllah kalau ada rezeki kita.”

“Dari segi pemain semua bebas daripada kecederaan. Semua boleh beraksi untuk perlawanan malam esok. Sebelum ini kita banyak masalah kecederaan, kekurangan pemain tetapi untuk masa sekarang semua boleh beraksi,” tambah Nafuzi Zain lagi.