Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain berpendapat aksi yang terlalu santai pada babak pertama menghukum anak buahnya sehingga mereka tunduk 1-2 ditangan Penang FC pada keenam Liga Super Malaysia 2022, malam tadi.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Bandaraya itu menyaksikan Hilal El-Helwe membuka tirai jaringan buat tuan rumah pada minit ke-23 dan kemudiannya Faisal Halim memadam kelebihan tersebut ketika permainan memasuki minit ke-48.

Kelegaan Nafuzi dan anak buahnya hanya mampu bertahan selama dua minit apabila T. Saravanan muncul wira dengan gol kemenangan dihasilkan sekali gus menghadiahkan kemenangan sulung buat skuad kendalian Zainal Abidin Hassan itu dalam saingan liga.

Manakala bagi TFC pula, mereka gagal mengekalkan kecemerlangan ketika menundukkan juara bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur City 2-0 pada minggu lalu.

Kredit Foto: Terengganu FC

“Pertamanya tahniah untuk Penang kerana mencatatkan kemenangan pertama pada musim ini,” ujar Nafuzi bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Dari awal permainan saya nampak pasukan TFC bermula dengan perlahan, agak terlalu relaks berbanding dengan Penang yang mana kita nampak begitu bersemangat untuk bermain di gelanggang sendiri, dengan sokongan peminat sendiri.”

“Usaha dan semangat mereka lebih berbanding pemain TFC. Bagi saya ia tidak cukup buat kita pada separuh masa pertama.”

“Pada separuh masa kedua menampakkan perubahan dan kita cuba bangkit untuk menjadikan kedudukan 1-1 tetapi kita terlalu cepat memberikan gol dan disitu menambahkan lagi moral kepada Penang untuk bertahan,” tambah Nafuzi Zain lagi.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak seluruh dunia melalui pautan dibawah.

Zainal Abidin: Pemain Masih Perlukan Sedikit Masa Untuk Sesuaikan Diri

Dion Cools Bakal Sertai Brentford?

VFF Letakkan Sasaran Untuk Vietnam, Mahu Jadi Antara Pasukan Terbaik Di Asia