Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain menegaskan masih terlalu awal untuk pasukannya dilabel sebagai pencabar kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi merebut takhta Liga Super musim ini.

Menurut Nafuzi, perjalanan liga musim ini masih lagi panjang dan beliau mahu anak-anak buahnya untuk memberikan perhatian penuh kepada setiap perlawanan yang telah dijadualkan.

“Tiga perlawanan (tanpa kalah) bagi saya terlalu awal, kita masih ada (baki) 19 perlawanan lagi untuk dihadapi. Kita bukannya mahu bersaing dengan JDT, apa yang penting kita fokus kepada persiapan perlawanan demi perlawanan, tiga perlawanan sudah selesai. Alhamdulillah, (kita) fokus kepada perlawanan seterusnya.

“Akhir sekali, kita akan melihat kedudukan kami di bulan Ogos untuk mengetahui pasukan kita bagus atau tidak. Kalau kita berada di tangga teratas maknanya pasukan kita bagus,” katanya pada sidang media selepas perlawanan menentang Perak semalam.

Kemenangan ke atas Perak membolehkan Terengganu menghuni tangga kedua dan berkongsi 9 mata dengan pendahulu iaitu skuad Harimau Selatan yang turut merekodkan 100% kemenangan pada tiga perlawanan liga setakat ini.

Pada perlawanan liga seterusnya, Terengganu akan berdepan Melaka United di halaman sendiri iaitu Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia di sini:

Nafuzi Zain: Jadual Padat, Pemain Keletihan Tetapi Mereka Bekerja Keras Dan Berdisiplin

Perak Terkulai Di Laman Sendiri, TFC Kekalkan Momentum Kemenangan

TMJ: “Safawi Bukan Cedera ACL Tetapi Kita Akan Main Di ACL”