Tiada lagi corak permainan ‘Nafuzi Ball’ bersama skuad Terengganu FC (TFC) dalam saingan Liga Malaysia musim depan apabila Ketua Pegawai Eksekutif kelab tersebut, Ab Rasid Jusoh mengesahkan pengendali pasukan, Nafuzi Zain telah menolak tawaran lanjutan kontrak.

Bagaimanapun, jurulatih tersebut tetap akan membimbing TFC dalam baki saingan Piala Malaysia sehingga mara ke pentas final musim ini.

“Kita menerima surat dan jawapan daripada ketua jurulatih, Nafuzi pada jam 4.47 petang semalam, dalam surat itu beliau tidak bersetuju untuk menyambung tawaran yang kita tawarkan kepadanya pada musim depan.

“Bagaimanapun dalam perbincangan dengan Ahli Lembaga Pengarah TFC Sdn Bhd, tidak ada sebarang perubahan barisan kejurulatihan dalam saingan Piala Malaysia ini, beliau masih lagi menerima gaji daripada pasukan

“Jadi tiada sebab beliau direhatkan, sebaliknya jurulatih itu perlu menamatkan saingan Piala Malaysia musim ini yang berbaki tiga perlawanan lagi,” katanya.

Berdasarkan khabar angin di media sosial, difahamkan Nafuzi bakal menyertai Kedah Darul Aman (KDA FC) musim depan bagi menggantikan tempat Aidil Sharin Sahak yang ditamatkan kontrak pada bulan lepas.

Namun begitu, TFC sudah pun mempunyai calon pengganti yang sesuai dan bakal mengumumkan nama jurulatih baharu bulan depan.

“Kita akan mencari dan meneliti jurulatih yang bakal mengambil alih tugas berkenaan sekurang-kurangnya menyamai dan melebihi apa yang dicapai pada musim ini.

“Jadi sebelum liga bermula pada Februari tahun depan, kita akan umumkan jurulatih berkenaan bagi memastikan kesinambungan pasukan berada pada landasan terbaik dan pencapaian tidak lari jauh daripada apa yang dicapai sekarang.

“Lagipun selepas beliau (Nafuzi) menolak tawaran itu, banyak permohonan daripada dalam dan luar untuk menjadi jurulatih, jadi kita akan teliti dan nilai permohonan berkenaan yang bersesuaian.

“Pada masa sama pihak pengurusan mengucapkan terima kasih kepada beliau (Nafuzi) yang sudah menabur bakti selama tujuh tahun bermula dengan skuad Piala Presiden T-Team pada 2016 sebagai jurulatih sebelum menjadi penolong jurulatih skuad Terengganu dan seterusnya ketua jurulatih bermula akhir 2019 hingga musim ini,” katanya.