Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Nafuzi Zain mahu pasukannya fokus untuk melepasi ke peringkat suku akhir TM Piala Malaysia 2021 terlebih dahulu sebelum cuba membawa pasukan ke final selepas kali terakhir beraksi di pentas perlawanan akhir itu pada tahun 2018.

Saingan Piala Malaysia tahun ini dijangka berlangsung dengan lebih sengit kerana ia turut menawarkan satu slot ke Piala AFC 2022. TFC diundi dalam kumpulan B bersama-sama Selangor FC, Perak FC dan satu lagi pasukan Liga Premier.

“Saya boleh katakan laluan yang bukan mudah untuk Terengganu kalau nak dibandingkan dengan kumpulan yang lain kerana Selangor juga kuat dan Perak juga kita tidak boleh pandang rendah.

“Tetapi untuk saya, kita akan cuba melepasi hingga suku akhir dahulu, kerana selaku ketua jurulatih, saya sendiri belum pernah merasa sehingga ke pentas final.

“Tahun 2018, kami naib juara dan waktu itu saya sebagai penolong jurulatih kepada Irfan Bakti dan mesti la untuk musim ini, saya nak cuba sehingga ke tahap yang terbaik,” katanya kepada MFL.

Nafuzi turut mengesahkan kapten pasukan, Carli de Murga akan kembali beraksi selepas diketepikan dari empat perlawanan terakhir Liga Super ekoran kecederaan sekaligus memberi kesan kepada prestasi pasukan.

Beliau percaya dengan kehadiran semula de Murga dapat memberi kekuatan berbeza kepada pasukan untuk menghadapi lawan yang lebih kuat.

“Sementara itu, de Murga dah kembali ke padang berlatih dan saya tengok keadaan dia juga semakin baik, jadi saya rasa tiada masalah untuk dia beraksi nanti”, katanya

Sebanyak 48 perlawanan peringkat kumpulan akan dilangsungkan bermula 25 September, lapan di peringkat suku akhir, empat bagi separuh akhir dan satu perlawanan akhir dengan jumlah keseluruhan adalah 61 perlawanan.

Saingan peringkat kumpulan akan berakhir pada 9 dan 10 November sebelum saingan suku akhir akan diadakan secara timbal balik pada 14 dan 18 November.

Aksi separuh akhir pada 22 dan 26 November juga secara timbal balik manakala perlawanan akhir bakal diadakan pada 30 November di venue berkecuali.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

MFL Harap Penyokong Dibenarkan Masuk Ke Stadium Untuk Menyaksikan Perlawanan Piala Malaysia

Hanya 10 Pasukan Sahaja Bertanding Dalam Liga Premier 2022

Baddrol Bakhtiar Muncul Sebagai Penjaring Terbanyak Pemain Tempatan Liga Super 2021

Isu Pertukaran Pemain: Empat Pegawai Perlawanan Digantung Tugas Selama Tiga Bulan

Liga Super: Ifedayo Olesegun Pecahkan Rekod Mohamad Ghaddar