Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Ketua jurulatih Terengganu FC, Nafuzi Zain percaya dengan tiga pilihan yang ada di bahagian serangan membabitkan penyerang import akan memberi kelebihan untuk membantu pasukan pada musim ini.

Dengan kehadiran Tchetche Kipre dan Kpah Sherman dari Kedah Darul Aman FC ke Terengganu menyaksikan Nafuzi mempunyai pilihan yang lebih luas selain Jordan Mintah untuk memperkuatkan jentera serangan kali ini.

Baginya, ketiga-tiga penyerang berkenaan mempunyai kelainan yang tersendiri dalam memperagakan aksi sambil menyifatkan mereka akan berdepan persaingan sihat dalam merebut tempat.

Apa yang pasti, Nafuzi mahu setiap pemain tidak kira yang baharu atau lama tetap bekerjasama untuk terus memberikan yang terbaik dalam mencipta keserasian terbaik menjelang saingan Liga Super musim ini.

“Kita boleh nampak bagaimana Terengganu telah menambahbaik kualiti pasukan terutamanya di bahagian serangan di mana kita ada tiga pemain ini (Mintah, Kipre, Sherman) dan saya memang berharap kombinasi mereka dapat memberi impak kepada pasukan.

“Mengenai persaingan antara mereka, saya ingin tegaskan kita akan ada musim yang panjang, jadi apa sahaja boleh berlaku dan saya teruja apabila kita akan sentiasa ada pemain yang bersedia untuk diturunkan dan pilihan yang lebih luas kali ini.

Jordan Mintah. Kredit Foto: Terengganu FC

“Kita akan tengok daripada segi keperluan, cara bermain daripada mereka dan semestinya masing-masing akan ada peluang mereka sendiri untuk beraksi berdasarkan prestasi semasa nanti”, jelasnya.

Dalam pada itu, jurulatih berusia 44 tahun ini tidak menolak banyak pengajaran yang telah diambil apabila mereka bermula dengan cukup konsisten pada awal musim sebelum bergelut pada penghujung musim untuk berada di tangga keempat Liga Super 2021.

“Banyak benda kita boleh belajar daripada apa yang dah berlaku musim lepas, sebab kita mula dengan baik sehinggalah beberapa perlawanan terakhir, kita tewas.

“Itu yang kita tidak mahu perkara sama berulang dan kena perbaiki apa yang patut untuk berada di prestasi lebih cemerlang.

“Kalau cakap pasal sasaran, saya hanya inginkan pasukan dapat berada di kedudukan yang lagi baik daripada musim lepas, itu sahaja”, tambahnya.

Selain Sherman dan Kipre, Terengganu turut mengikat tiga pemain import baharu yang lain iaitu Pape Diakite, Luke Woodland serta bekas pemain Melaka United, Manuel Ott.

Anda Mungkin Suka

© 2022 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group