Ketua jurulatih Terengganu, Nafuzi Zain menegaskan bahagian tengah memainkan peranan yang besar dalam memastikan pasukannya menampilkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Super musim ini.

Nafuzi memuji persembahan yang ditampilkan oleh tiga pemain iaitu Dechi Marcel N’Guessan, Makan Konate dan Habib Haroon dalam kemenangan 3-0 ke atas Petaling Jaya City FC semalam.

“Bagi saya, bahagian tengah ibarat sebuah enjin pasukan. Jika ketiga-tiga pemain menampilkan persembahan terbaik, maka pasukan juga bakal mendapat keputusan yang baik.

“Bahagian tengah sangat penting untuk kami dari segi bertahan, menyerang dan mengendalikan tempo permainan. Ketiga-tiga pemain import memainkan peranan musim ini,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.

Dechi Marcel menjaringkan satu gol pada separuh masa pertama sebelum David Da Silva dan Rahmat Makasuf menjaringkan gol pada separuh masa kedua bagi memberikan kemenangan 3-0 kepada Terengganu.

Kemenangan ke atas PJ City meletakkan Terengganu kekal di tangga kedua dengan perbezaan lapan mata dibelakang pendahulu iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT).

Pada perlawanan seterusnya, Terengganu akan menghadapi Sri Pahang di laman sendiri.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Brendan Gan Ucap Terima Kasih, Berazam Mahu Segera Kembali Beraksi

Terengganu Tiada Masalah Tewaskan PJ City

Isu Pergaduhan Zafuan Azeman Dengan Gassama Alfusainey Selesai