Portugal berjaya menidakkan impian Argentina untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi lima tahun lalu apabila dua jaringan daripada Pany Varela telah menobatkan wakil Eropah itu selaku juara Piala Dunia Futsal 2021, awal pagi tadi.

Kemenangan bersejarah dilakarkan di Zalgiris Arena tersebut sekali gus telah meletakkan Portugal sebaris dengan Argentina, Sepanyol dan Brazil menjadi negara yang pernah mengungguli saingan futsal paling berprestij di dunia itu.

Perlawanan yang berlangsung sengit serta berintensiti tinggi itu dicemari dengan layangan kad merah apabila Cristian Borruto diperintah keluar padang susulan tindakannya menumbuk perut legenda dunia, Ricardinho pada minit ke-13.

Bermain dengan kelebihan seorang pemain dalam tempoh masa dua minit nyata tidak disia-siakan Portugal setelah Pany meledakkan rembatan padu dari luar kawasan D untuk menewaskan penjaga gol, Nicolas Sarmiento.

Jaringan tersebut jelas meningkatkan moral para pemain Portugal yang dibimbing Jorge Braz untuk menambah jaringan kedua dan usaha mereka membuahkan hasil pada minit ke-28.

Berpunca daripada sepakan sudut Ricardinho, Pany dengan tenang melakukan percubaan voli yang tidak mampu dihalang Sarmiento bagi melebarkan kedudukan buat Portugal.

Para pemain Portugal menjulang jurulatih mereka, Jorge Braz sebaik sahaja mengesahkan kemenangan ke atas Argentina. Kredit Foto: FIFA Futsal World Cup.

Tidak sampai pun seminit jaringan itu terhasil, Argentina merapatkan defisit gol menerusi rembatan padu susulan gerakan solo dilakukan Angel Claudino.

Memasuki babak kedua, Argentina dilihat begitu berhempas-pulas untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi penjaga gol Portugal, Bebe mempamerkan kekentalan bagi menghalang gawangnya daripada dibolosi.

Taktikal ‘Powerplay’ yang digunakan Argentina pada lewat permainan hampir membuahkan hasil tetapi ketangkasan Bebe serta percubaan ketika permainan hanya berbaki satu saat sekadar singgah di tiang gol.

Keputusan 2-1 itu kekal hingga tamat permainan untuk Portugal melakar sejarah muncul juara Piala Dunia Futsal buat pertama kali dalam sejarah negara tersebut.

Ia sudah pasti menjadi penutup karier antarabangsa terhebat buat Ricardinho yang kini sudah menjangkau usia 36 tahun.

Beliau turut dipilih sebagai Pemain Paling Bernilai untuk menerima anugerah ‘adidas Golden Ball’.

Sementara itu, Brazil meraih tempat ketiga selepas menundukkan Kazakhstan 4-2 pada perlawanan penentuan tempat ke-3/4 yang berlangsung sebelum perlawanan akhir.

Berikut adalah senarai penuh pemenang individu dalam edisi kali ini:

adidas Golden Ball – Ricardinho (Portugal)

adidas Silver Ball – Pany Varela (Portugal)

adidas Bronze Ball – Douslas Jr (Kazazkhstan)

adidas Golden Shoe – Ferrao (Brazil) – 9 Gol

adidas Silver Shoe – Pany Varela (Portugal) – 8 Gol

adidas Bronze Shoe – Taynan da Silva Rego (Kazazkhstan) – 6 Gol

adidas Golden Glove – Nicolas Sarmiento (Argentina)

Fair Play: Kazazkhstan