Hari ini peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan pendedahan daripada pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim (TMJ) mengenai pemotongan gaji sebanyak 50 peratus terhadap seorang pemain yang telah mendapat penyakit kanser.

Menurut kenyataan di laman instagramnya, TMJ menyifatkan pengurusan kelab tersebut tidak mempunyai sikap kemanusiaan serta tidak menjaga kebajikan pemain yang telah berhempas pulas untuk pasukan.

“Orang tu kena cancer. Selepas dah berhempas pulas bersusah payah untuk awak, takkanlah oleh kerana kena cancer awak nak potong gaji dia 50 peratus. Macam ni ke nak jaga orang? Mana tak ramai nak angkat kaki.

“Dalam media sosial aja hebat. Dalam rumah sendiri hancur. Peraturan pertama untuk berjaya ialah sikap kemanusiaan,” tulisnya.

Difahamkan pemain yang dimaksudkan oleh TMJ ialah pemain tengah Selangor, Brendan Gan yang disahkan menghidap penyakit kanser testis pada bulan Julai lalu. Pemain kacukan Malaysia-Australia itu kini dalam proses pemulihan dan sudah mula turun menjalani latihan bersama rakan sepasukan.

CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon melalui kenyataan di laman twitternya menafikan kelab itu telah melakukan pemotongan sebanyak 50 peratus terhadap pemain yang mengalami kecederaan.

Menurut Johan, semua pemain Selangor sentiasa dibayar gaji penuh walaupun mereka tidak dapat beraksi akibat kecederaan.

“Tidak kira cedera atau sakit, pengurusan Selangor FC sentiasa bertanggungjawab ke atas setiap kontrak, membayar gaji penuh secara on-time dan menjaga kebajikan setiap individu di bawah naungan kelab,” jelasnya.

Kenyataan Johan turut disokong oleh Brendan Gan untuk menjawab semua pertanyaan daripada peminat di media sosial. Beliau juga mahu pasukannya memberi fokus kepada usaha mendapatkan 3 mata penuh dalam perlawanan Piala Malaysia malam ini.

“Saya telah melihat dan membaca apa yang telah ditulis dalam media sosial tetapi saya ingin menjelaskan bahawa Selangor telah membayar gaji saya sepenuhnya untuk kontrak tahun 2021,” tulisnya.

Musim ini, Brendan menjadi sandaran utama buat Selangor di jentera tengah selepas diikat skuad ‘Gergasi Merah Kuning’ itu pada tahun lepas.

Vocket FC ingin mengambil kesempatan untuk mendoakan agar Brendan Gan segera sembuh daripada penyakit kanser ini dan diharapkan dapat kembali beraksi seperti kebiasaan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

JDT:”Marshall Berdiri Membentuk ‘Human Barricade’, Marshall Diberi Amaran Kerana Menonton Perlawanan.”

Kekurangan Anggota Petugas, Kuching City Tidak Benarkan Penyokong Masuk Di Stadium Larkin

MFL Kini Mempunyai Akaun Rasmi TikTok

Kem Latihan Harimau Malaya Bermula Selepas Tamat Separuh Akhir Piala Malaysia