Penyerang Terengganu FC, Nabil Ahmad Latpi enggan berasa selesa dengan prestasi semasa beliau dan berazam untuk mengutip lebih banyak pengalaman dalam saingan Liga Malaysia musim ini.

Pemain yang sebelum ini beraksi dalam saingan Liga Sosial bersama Ultimate FC itu telah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan terakhir Liga. Satu prestasi yang cukup baik memandang ini merupakan kali pertama beliau bermain di peringkat tertinggi.

Nabil Ahmad Latpi
Sumber Gambar: Sport Malaysia

“Alhamdulilah, rezeki Allah kerana boleh dapat dua jaringan dalam dua perlawanan awal. Namun, saya akui masih banyak yang perlu dipelajari daripada jurulatih dan pemain berpengalaman dalam pasukan.

“Lagipun saya belum begitu serasi sepenuhnya dengan rakan sepasukan, tapi akan cuba meningkatkan lagi prestasi pada perlawanan seterusnya.

“Saya juga tidak berasa selesa dengan dua jaringan pada dua perlawanan awal. Yang penting saya perlu bekerja lebih keras untuk membantu pasukan,” kata Nabil Ahmad Latpi menurut laporan Berita Harian.

Nabil Ahmad
Sumber Gambar: MFL

Pada perlawanan menentang Felda United minggu lalu, Nabil berjaya menjaringkan satu gol dimana beliau menyempurnakan hantaran daripada Sanjar Shaakhmedov pada separuh masa kedua.

Akan tetapi, jaringan beliau tidak cukup untuk menghadiahkan tiga mata buat TFC apabila Kei Ikeda menjaringkan gol penyamaan sekaligus memberikan satu mata kepada kedua-dua pasukan.