Ketua jurulatih Ulsan Hyundai, Hung Myung-bo meluahkan rasa kecewa mengenai tindakan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tidak membenarkan pasukannya menjalani latihan di Stadium Sultan Ibrahim bagi membiasakan diri dengan permukaan padang.

Kelab gergasi Korea Selatan itu akan berdepan JDT dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan AFC Champions League (ACL) yang bermula pukul 5.00 petang esok. Hanya kemenangan yang diperlukan untuk mencerahkan peluang mereka mara ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun, Myung-bo menyifatkan tindakan AFC tersebut sebagai tidak adil kepada pasukannya kerana padang latihan yang disediakan (rumput cow grass) tidak sama dengan padang venue perlawanan (rumput zeon zoysia).

“Ini perlawanan terakhir dan ianya perlawanan yang cukup penting. Kerana AFC tidak memberi peluang kepada kami untuk menjalani latihan [di Stadium Sultan Ibrahim] sebelum perlawanan sebenar.

“Padang latihan yang disediakan sangat berbeza dengan padang di tempat perlawanan. Saya memohon kepada AFC supaya benarkan kami berlatih selama sejam di Stadium Sultan Ibrahim.

“Tahun lepas di Thailand [ketika saingan ACL], semua pasukan berlatih di atas permukaan padang yang sama. Jadi tidak timbul sebarang isu tetapi sekarang keadaan tidak sama. Saya tertanya-tanya berapa banyak kelebihan pasukan lain berbanding pasukan tuan rumah. Saya rasa AFC perlu fikir tentangnya dengan teliti,” katanya seperti dipetik dalam portal sukan Korea Selatan, Naver Sports. 

Menurut laporan wartawan dari Korea Selatan, difahamkan tindakan AFC tidak membenarkan pasukan itu berlatih kerana untuk memastikan padang berada dalam keadaan yang terbaik menjelang perlawanan esok.

Myung-bo juga menegaskan penting untuk setiap pasukan dibenarkan menjalani latihan di venue sebelum hari perlawanan bagi membiasakan diri dengan suasana di sekitarnya.

“Saya fikir ia adalah sangat penting daripada pengalaman saya. Saya menyertai 4 kejohanan Piala Dunia, sehari sebelum perlawanan, pasukan kami dibenarkan menjalani latihan di stadium di mana perlawanan itu akan berlangsung.

“Ia penting. Terdapat pemain yang kali pertama merasai rumput berbeza dalam hidup mereka. Rumput adalah isu sensitif. Kami sudah biasa dengan stadium lain. Tetapi di sini [Malaysia] ianya berbeza,” jelasnya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Disajikan Pemandangan Indah, Bali United Bina Pusat Latihan Rasmi Di Tepi Pantai

Singapura Umum Takayuki Nishigaya Sebagai Ketua Jurulatih Baharu

Penyokong Azul Claro Numazu Kibar Bendera Malaysia Sebagai Tanda Sokongan Kepada Hadi Fayyadh

Shanghai Port Tarik Diri Daripada ACL 2022, Hanya Tiga Pasukan Tempat Kedua Terbaik Mara Ke Pusingan 16