Pengadil dari Singapura, Muhammad Taqi Aljaafari Bin Jahari terus menjadi pilihan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila dilantik sebagai penolong pengadil bagi mengendalikan Video Assistant Referee (VAR) dalam kejohanan Piala Dunia Wanita 2023.

Turut diberikan penghormatan untuk menggalas tanggungjawab sama ketika Piala Dunia 2022 di Qatar tempoh hari, Taqi merupakan salah seorang daripada 19 ‘Video Match Official’ terpilih ke kejohanan yang bakal diadakan di Australia dan New Zealand itu.

Seramai 33 orang pengadil, 55 pembantu pengadil dan 19 pembantu pengadil VAR telah dipilih bagi kejohanan edisi kesembilan yang dijadualkan berlangsung pada 20 Julai hingga 20 Ogos itu.

Ia merupakan edisi kedua yang menyaksikan FIFA mengimplementasikan penggunaan VAR dalam aksi Piala Dunia Wanita apabila memperkenalkannya ketika saingan di Perancis pada 2019.

Mengulas mengenai pemilihannya, Taqi mengakui teruja kerana sekali lagi telah diberikan kepercayaan oleh FIFA.

Kredit Foto: Taqi Jahari I Persatuan Bola Sepak Singapura

“Reaksi pertama saya adalah terkejut kerana saya baharu sahaja pulang dari Qatar dan tidak pernah menyangka akan terlibat pula dengan Piala Dunia Wanita ini.”

“Saya bersyukur atas kepercayaan dan kepercayaan yang ditunjukkan oleh FIFA untuk memberikan peluang ini dan saya akan berusaha untuk melaksanakan tugas saya dengan sebaik mungkin.”

“Sudah tentu, ia satu penghormatan dan saya berbangga kerana terpilih kerana ia hanya merupakan edisi kedua Piala Dunia Wanita menggunakan VAR,” ujar Muhammad Taqi menurut kenyataannya di laman sesawang rasmi Persatuan Bola Sepak Singapura.

Selain Taqi, dua lagi wakil daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) turut akan memikul tanggungjawab sama iaitu Chris James Beath dari Australia dan pengadil Qatar, Abdulla Al Marri.

Sementara itu, Kate Jacewicz (Australia), Kim Yujeong dan Oh Hyeonjeong dari Korea Selatan serta Yoshimi Yamashita (Jepun) bakal bertugas selaku pengadil utama.