Pergolakan politik yang berlaku di negeri Kedah kini menjadi tumpuan apabila Datuk Seri Mukhriz Mahathir telah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Besar berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Situasi itu turut memberi kesan kepada Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) dimana akan berlaku perubahan pucuk kepimpinan termasuk perlantikan Presiden baharu dalam masa terdekat.

Perlembagaan KFA sebelum ini menetapkan presiden persatuan itu adalah Menteri Besar dan perlembagaan baharu yang diubah pada tahun 2010 menyaksikan jawatan tersebut bukan lagi dilantik secara automatik sebaliknya dipertandingkan.

Datuk Mukhriz Mahathir

Datuk Seri Mukhriz Mahathir. Sumber Gambar: The Star

Bagaimanapun, trend Menteri Besar dilantik sebagai Presiden KFA dijangka akan berterusan kerana Menteri Besar memiliki pengaruh yang kuat untuk mencari dana dan penajaan pasukan.

Ia berdasarkan kes terdahulu, apabila berlaku perubahan kerajaan negeri Kedah pada tahun 2018, presiden sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah meletakkan jawatannya sebelum Mukhriz sekali lagi dilantik sebagai Presiden KFA.

Situasi sama turut berlaku pada tahun 2016 dimana Mukhriz melepaskan jawatannya sebagai Presiden KFA ketika itu apabila mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Besar selepas dikatakan hilang sokongan majoriti Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ammar Shaikh Mahmood Naim pada satu sidang media hari ini mengumumkan Muhammad Sanusi Md Nor dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ke 14.

Setiausaha Kehormat KFA, Asmirul Anuar Aris turut memberi bayangan akan berlaku perubahan barisan pengurusan dalam KFA pada minggu hadapan sekaligus menguatkan lagi khabar angin Menteri Besar Kedah yang baharu, Muhammad Sanusi bakal dilantik sebagai Presiden KFA.

Selain itu, isu tunggakan gaji yang sedang melanda skuad Helang Merah juga akan diselesaikan oleh kerajaan baharu Kedah apabila mereka telah meluluskan peruntukan RM1.5 juta untuk menyelesaikan gaji pemain dan para pegawai pasukan.

Namun, ia hanya melibatkan tunggakan pada bulan Februari dan Mac lalu.

Penularan wabak COVID-19 yang mengakibatkan penangguhan Liga Malaysia pada musim ini memberi sedikit kesan dari segi kewangan pasukan itu.

Wabak pandemik itu menyebabkan ekonomi negara telah terjejas sehingga memberi masalah kepada syarikat penaja untuk terus memberi penajaan ditambah pula dengan ketiadaan pendapatan dari segi kutipan tiket.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan Kedah melalui pautan dibawah.

Pemain Kedah Baru Terima 50 Peratus Gaji Februari, Mac Dan April Masih Tertunggak

Ifwat Akmal Mahu Tinggalkan Pasukan Kedah?

Gambar Azmeer Yusoff Terlantar Di Hospital Cetus Rasa Bimbang Penyokong Kedah

Anda Mungkin Suka

© 2020 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group