Bintang Thailand, Muhammad Osamanmusa berjaya membuka akaun jaringannya dalam saingan Liga Futsal Sepanyol 2022 apabila menyumbangkan satu gol pada aksi ketiga yang menemukan Cordoba Futsal dan Jaen Paraiso Interior FC, awal pagi tadi.

Perlawanan yang berkesudahan seri 3-3 itu menyaksikan Osamanmusa dikasari dalam kawasan D untuk memberikan sepakan penalti buat Cordoba Futsal.

Sepakan tersebut disudahkan dengan baik oleh Alberto Saura Castejon pada minit ke-11 untuk memadamkan kelebihan pasukan pelawat yang mendapatkan jaringan seawal minit ketiga menerusi Attos Cristhian Mendes Da Silva.

Berselang enam minit kemudian, Osamanmusa mempamerkan kualiti hebat dimiliki dengan melakukan ‘turning’ cantik sekali gus meledakkan rembatan menerusi kaki kiri yang gagal diselamatkan penjaga gol lawan, Carlos Eduardo Nesello Espindola pada minit ke-16 untuk memberikan kelebihan 2-1 buat Cordoba.

Kedudukan tersebut bagaimanapun kembali terikat ketika aksi babak pertama hanya tinggal seminit untuk ditamatkan apabila Javier Garcia Moreno (Chino) menyempurnakan sepakan penalti kedua (second spot) selepas pemain tuan rumah melakukan kekasaran keenam.

Osamanmusa meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. Kredit Foto: Córdoba Patrimonio de la Humanidad

Memasuki minit ke-25, Ivan Gemes Cantos sekali lagi meletakkan Cordoba dihadapan tetapi Attos menggagalkan impian mereka untuk meraih kemenangan pertama musim ini menerusi taktikal ‘Power Play’ pada minit ke-38.

Tidak keterlaluan untuk mengatakan Muhammad Osamanmusa seolah-olah sudah dapat menyesuaikan diri dengan tempo pantas dalam saingan Liga Futsal Sepanyol dimana beliau sedikit bergelut pada dua aksi awal bertemu Noia Portus Apostoli dan Barcelona.

Corak permainan Osamanmusa ketika bertemu Jaen Paraiso jelas memperlihatkan kemampuan yang begitu terserlah dan beliau lebih yakin untuk menggunakan kekuatan fizikal bagi memburu jaringan.

Seperti dilaporkan sebelum ini, seorang lagi pemain dari benua Asia iaitu Moslem Oladghobad telah mencetak nama selaku penjaring ketika debut bersama Mallorca Palma pada aksi kedua minggu lalu.