Bintang futsal Thailand, Muhammad Osamanmusa bakal mengembangkan kariernya ke Eropah selepas beliau disahkan akan menyertai kelab saingan Liga Futsal Sepanyol, Cordoba Futsal Club pada musim hadapan.

Perkembangan terkini melibatkan Osamanmusa tersebut disahkan oleh wartawan futsal di Sepanyol, Gustavo Adolfo Munana Fuentes mendedahkan bahawa pemain kacukan Thailand-Ghana itu bakal menggantikan pemain skuad kebangsaan Jepun, Kazuya Shimizu yang terpaksa pulang ke negaranya atas alasan peribadi.

Malah, Osamanmusa bukanlah asing buat kelab yang kini menghuni tangga ke-10 liga itu kerana beliau pernah menjalani latihan di sana sebaik sahaja meninggalkan Free Fire Chonburi Bluewave.

Eropah merupakan destinasi yang cukup ideal buat pemain berusia 24 itu selepas menampilkan prestasi memukau di peringkat kelab dan ketika menggalas tanggungjawab bersama skuad kebangsaan Thailand.

Kredit Foto: Asean Football

Lebih menarik untuk diperkatakan, beliau pernah disenaraikan sebagai antara calon pemain muda terbaik dunia sebaik sahaja menyarung jersi skuad kebangsaan bermula tahun 2017.

Osamanmusa juga kini berada di kemuncak prestasinya apabila muncul pemenang kasut emas bagi kempen Liga Futsal Thailand serta Kejuaraan Futsal AFF 2022 dimana beliau menjadi watak penting buat pasukannya dalam menjulang trofi bagi kedua-dua saingan tersebut.

Antara pencapaian yang dikecapi Muhammad Osamanmusa di pentas antarabangsa ialah muncul juara Kejuaraan Futsal AFF bagi lima edisi berturut-turut, juara Sukan SEA 2017 serta tempat ketiga Kejuaraan Futsal AFC Bawah 20 Tahun.

Baca artikel lain mengenai sukan Futsal di bawah:

Chiew Chun Yong: Pemain Seperti Bermimpi Pada Separuh Masa Pertama

Sukan SEA 2021: Thailand Masih Sukar Digugat Skuad Futsal Negara

Falcao: Daripada Pemain Bola Sepak Yang Kecewa Kepada Ikon Futsal Terbilang