Pemain legenda negara, Mubin Mokhtar berharap Piala Malaysia tetap akan dianggap sebagai saingan berprestij oleh semua penggiat bola sepak tempatan demi mempertahankan tradisi kejohanan tertua di rantau Asia Tenggara.

Bekas pemain Pahang dan Selangor di era 90-an itu berkata, aura Piala Malaysia sentiasa menghadirkan suasana berbeza termasuk dengan keghairahan peminat untuk turun ke stadium sepanjang kejohanan itu.

Malah, Mubin berpandangan Piala Malaysia adalah pentas untuk melihat pasukan manakah yang mampu konsisten sehingga penghujung musim kerana ia membabitkan 16 pasukan terbaik dari Liga Super dan Liga Premier.

Mubin Mokhtar
Aksi Mubin ketika bergelar pemain Selangor.

Justeru, cabaran yang akan ditempuh setiap pasukan pasti sengit memandangkan pasukan dari Liga Premier sudah tentu mahu mencabar kewibawaan pasukan Liga Super.

“Daripada dulu sampai sekarang, bagi saya nilai Piala Malaysia ini tidak pernah berubah dan kekal hangat pada saban tahun malah semua pasukan sentiasa memandang tinggi kejohanan ini.

“Apa sahaja pandangan, Piala Malaysia akan kekal sebagai paling berprestij di Malaysia pada kaca mata saya kerana ia seperti sebagai kemuncak saingan pada tiap musim.

“Hanya terbaik daripada Liga Super dan Premier sahaja boleh beraksi, justeru suasana itu yang timbulkan persaingan yang sukar dijangka pada tiap kali edisi, ” katanya.

Mubin Mokhtar
Mubin ketika bergelar pengurus pasukan PDRM.
Sumber Gambar: JST

Dalam pada itu, Mubin yang terkenal dengan rembatan deras kaki kirinya ketika bergelar pemain satu ketika dahulu, mengakui kejayaan menjulang Piala Malaysia 1992 bersama Pahang kekal sebagai kenangan manis dalam karier.

Tambahnya, kenangan itu sukar dilupakan kerana kejayaan menjulang Piala Malaysia melengkapkan gelaran treble skuad Pahang pada masa itu selepas menjuarai Liga Semi Pro dan Piala Sumbangsih.

Selain itu, dia pernah menjulang Piala Malaysia sekali lagi pada tahun 1996 dengan Selangor.

“Tahun 1992 jadi musim pertama saya merasai gelaran juara Piala Malaysia iaitu bersama Pahang dan berjaya menewaskan Kedah di perlawanan akhir, ia kekal jadi kenangan yang saya tidak akan lupakan.

“Selepas itu, sekali pada tahun 1996 semasa bermain dengan Selangor, saya rasa bertuah kerana dapat lalui pengalaman dua kali menjulang Piala Malaysia,” katanya.