Penyerang kelab Nagoya Grampus, Mu Kanazaki menjadi pemain terbaharu Jepun yang dijangkiti wabak pandemik COVID-19 selepas disahkan positif pada hari selasa lepas.

Menurut Japan Today, Kanazaki dilaporkan tidak sihat dan mengalami sakit kepala selepas menjalani sesi latihan bersama pasukan pada hari Jumaat lepas. Pegawai perubatan mendapati suhu badannya telah meningkat kepada 38.5 darjah celsius lalu dimasukkan ke hospital wilayah Aichi.

Bekas pemain skuad kebangsaan Jepun yang berusia 31 tahun itu merupakan pemain kedua J. League yang disahkan positif COVID-19 selepas Gotoku Sakai pada bulan lepas.

Nagoya Grampus dalam satu kenyataan telah membatalkan semua sesi latihan  dan akan melakukan proses sanitasi dan pembasmian kuman dalam pusat latihan mereka. Semua pemain juga diarahkan melakukan ujian pemeriksaan COVID-19 dan dikuarantin selama seminggu.

Badan pengendali J. League pada jumaat lepas mengumumkan perlawanan divisyen satu akan bermula pada 4 Julai depan.

Bagaimanapun, setiap pasukan akan menentang lawan yang terdekat untuk mengurangkan tempoh pejalanan dan beberapa langkah lain akan diperkenalkan bagi mengurangkan risiko dijangkiti wabak tersebut.

Saingan divisyen 2 dan divisyen 3 pula akan bermula pada 27 Jun seminggu lebih awal daripada J. League 1. Jadual perlawanan baharu semua divisyen ini akan diumumkan pada 15 Jun.

Namun sejak kelmarin, beberapa kelab J. League sudah mula turun menjalani sesi latihan pertama mereka setelah berehat hampir 3 bulan.

Juara bertahan, Yokohama F. Marinos antara pasukan pertama yang telah memulakan sesi latihan penuh untuk mengembali semula tahap kecergasan mereka.

Kashiwa Reysol and Consadole Sapporo turut menjalani latihan pada hari isnin lepas. Manakala Vissel Kobel, Gamba Osaka, dan Cerezo Osaka hanya menjalani latihan penuh selepas berlatih dalam kumpulan yang kecil.

Lagi artikel menarik mengenai perkembangan bola sepak Jepun melalui pautan dibawah.

Normal Baharu Bola Sepak: Penyokong Kelab Jepun Kini Boleh Bersorak Dari Rumah Sendiri Melalui Aplikasi Khas

J.League Sediakan ‘Pinjaman Kecemasan’ Berjumlah RM480 Juta Untuk Semua 58 Buah Kelab

3 Bulan Dalam Saingan Thai League 1, Bekas Pengurus Kashima Antlers Ceritakan Perbezaan Dengan J.League