Pahang Rangers yang unggul di tangga teratas kumpulan A kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 telah memperkenalkan Sergio Jamur De Souza sebagai rekrut baharu kelab tersebut.

Jamur yang memiliki reputasi besar dalam kancah futsal di Eropah menyertai Pahang Rangers sebagai pengganti kepada seorang lagi pemain dari Brazil iaitu Matheus Augusto De Oliveira Gonzalez.

Perkembangan terkini mengenai kehadiran Jamur itu disahkan Pahang Rangers menerusi laman sosial rasmi kelab dari Kuantan tersebut.

Genap 33 tahun usianya pada 12 September nanti, Jamur berpengalaman luas beraksi dalam saingan liga utama di Sepanyol dan Brazil.

Kelab terakhir diwakilinya ialah Levante yang menyaksikan beliau berjaya menjaringkan 10 gol pada 24 penampilannya pada musim ini dalam kempen liga futsal paling popular di dunia itu.

Bagaimanapun, Levante terpaksa menelan kepahitan terpaksa turun ke divisyen dua selepas menamatkan musim 2022/23 ditangga terakhir apabila hanya mengumpul 20 mata hasil enam kemenangan, dua keputusan seri dan 21 kekalahan.

Selain Levante, beliau telah menyertai lebih daripada 10 kelabĀ  yang mana antaranya ialah Pato Futsal, Jaragua, Foz Cataratas dan Magnus FutsalĀ  dari Brazil serta Football Zaragoza (Sepanyol).

Di pentas antarabangsa pula, Sergio Jamur pernah menyarung jersi skuad kebangsaan Brazil dan menjuarai Kejohanan Amerika Selatan 2018.

Dengan kehadiran Jamur, ia sekali gus meningkatkan lagi keupayaan Pahang Rangers yang pada ketika ini dibantu sumbangan hebat ditampilkan oleh Amin Nasrollahzadeh serta beberapa pemain tempatan.