Johor Darul Ta’zim (JDT) bangkit daripada kekalahan minggu lalu apabila menundukkan juara bertahan, Selangor MAC 4-1 pada aksi Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2023 yang berlangsung sebentar tadi.

Kemenangan penting yang diraih JDT itu juga sekali gus meleburkan rekod 100 peratus kemenangan dilakarkan Selangor MAC selepas mengharungi empat perlawanan.

Kehadiran ribuan penyokong di Kompleks Sukan Negera Panasonic, Shah Alam jelas menghangatkan lagi aksi yang cukup mendebarkan dengan corak permainan pantas serta saling serang-menyerang ditampilkan kedua-dua pasukan.

Penjaga gol Selangor MAC, Syawal Sabaruddin dan Azrul Hadee Mohd Taufik (JDT) sudah pasti menjadi individu yang mencuri tumpuan dengan mempamerkan ketangkasan dalam menafikan asakan hebat diterima ke arah gawang masing-masing.

Skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia melonjak kegembiraan pada minit ke-12 apabila percubaan kaki kiri Abu Haniffa Hassan selepas melepasi kawalan pemain Selangor MAC berjaya menewaskan Syawal untuk membuka tirai jaringan.

Jaringan itu jelas meningkatkan moral para pemain JDT untuk mengawal permainan dan menambah gol kedua berselang enam minit kemudian ke menerusi percubaan pemain import dari Iran, Abdul Rahman Sarani.

Selangor MAC yang merupakan juara liga dua musim berturut-turut mengurangkan defisit jaringan tidak sampai seminit aksi babak kedua bersambung hasil rembatan Ali Ebrahimi.

Ketika Selangor MAC berusaha keras untuk mendapatkan jaringan penyamaan dengan taktikal ‘Power Play’, Caio Cesar Garcia dan Saad Sani mematikan api perjuangan lawan tersebut dengan gol ketiga yang menghadiahkan kemenangan kedua buat skuad Harimau Selatan.