Skuad TRW Kelantan FC yang bersaing dalam kempen Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) 2022 mendapat tonik berguna menjelang aksi bertemu Terengganu FC, malam ini apabila akan diperkuatkan dengan kehadiran bekas ketua pasukan skuad bawah 20 tahun (B-20) Indonesia, Anton Cahyo Nugroho.

Anton Cahyo merupakan antara sandaran utama SKN Kebumen FC ketika kelab tersebut muncul naib juara Liga Futsal Pro Indonesia 2020. SKN merupakan kelab yang sama turut diwakili bintang futsal negara, Khairul Effendy Bahrin pada tahun 2016.

Pemain kelahiran Kabupaten Klaten, Jawa Tengah itu difahamkan sudah berada di tanah air untuk menambah kekuatan Kelantan yang kini menduduki tangga kelapan dengan satu kemenangan dan satu keputusan seri dicatatkan.

Anton Cahyo dikenali sebagai seorang pemain yang memiliki kelebihan fizikal serta rembatan kaki kiri padu dan juga mampu beraksi dengan cukup baik di mana-mana posisi futsal selain daripada penjaga gol.

Fakta itu diakui sendiri oleh ketua jurulatih TRW Kelantan FC, Qusmaini Noor Rusli yang nyata amat mengenali kelibat dan kemampuan pemain berusia 25 tahun itu.

Hal ini kerana Anton Cahyo pernah dua kali mendapat tunjuk ajar daripada Qusmaini ketika beliau menyarung jersi menyarung jersi BJL 2000 Semarang FC di Liga Futsal Pro Indonesia dan kelab Liga Futsal Brunei, Shah United FC.

Kredit Foto: Bolalob Futsal

Keadaan itu dilihat mampu menjadi tambahan berkualiti buat Kelantan yang ketika ini dibarisi beberapa pemain berbakat besar seperti Ahmad Aqil Khalis Adli Khairuz, Aqim Mohamad Salihuddin serta dibantu pengalaman luas bekas pemain kebangsaan, Asmie Amir Zahari.

Selain itu, Anton Cahyo juga turut pernah merasai pengalaman berhadapan dengan skuad kebangsaan Malaysia pada temasya Sukan SEA 2017 dan Kejuaraan Futsal AFC Bawah 20 tahun 2017 di Bangkok selain Kejuaraan Kelab AFF Championship 2017.