Pelumba Moto3 negara, Syarifuddin Azman menampilkan peningkatan apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix Argentina di kedudukan ke-11.

Pencapaian di Litar Termas de Rio Hondo itu menyaksikan pelumba yang mesra dengan panggilan Damok tersebut berjaya mengumpul lima mata.

Ia sekali gus memperbaiki kedudukan selepas beliau hanya menamatkan perlumbaan sulung di Portugal di tempat ke-22.

Pada perlumbaan yang berlangsung semalam, kelas Moto3 telah dimenangi oleh pelumba Jepun, Tatsuki Suzuki yang menunggang jentera Leopard Racing.

Dengan lima mata yang diraih meletakkan Damok pada ketika ini ditangga ke-17 keseluruhan dalam Moto3 dengan Daniel Holgaldo dari Sepanyol (Red Bull KTM Tech3) mengetuai senarai dengan 38 mata.

“Syukur Alhamdulillah saya berjaya menamatkan perlumbaan di posisi ke-11,” ujar Damok menurut kenyataan dikeluarkannya di ZK Racing.

“Dengan keadaan litar yang agak basah saya akui agak sukar dengan keadaan yang agak licin dan beberapa pelumba di hadapan saya terjatuh membuatkan ianya bertambah sukar.”

“Saya amat gembira kerana dapat menghabiskan perlumbaan sekaligus meraih tempat ke-11. Ini merupakan kali pertama saya berlumba di trek ini.”

“Saya ingin berterima kasih kepada pasukan saya yang bertungkus lumus dalam perlumbaan kali ini dan tak lupa buat semua penaja saya,” tambah Damok lagi.

Perlumbaan seterusnya yang bakal diharungi oleh Damok ialah saingan di Austin, Amerika Syarikat pada 14 hingga 16 April nanti.