Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Morocco berjaya menewaskan pasukan bekas juara, Sepanyol pada aksi 16 pasukan terakhir menerusi penentuan sepakan penalti dalam temasya Piala Dunia 2022 sekaligus menjadi satu-satunya wakil dari benua Afrika yang mara ke peringkat suku akhir.

Artikel Berkaitan:

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Education City, kedua-dua pasukan terus menampilkan permainan menyerang dimana mereka cuba untuk mencari gol awal. Peluang terbaik Sepanyol hadir menerusi Marco Asensio pada minit ke-27 dimana beliau membuat percubaan namun tidak berjaya menemui sasaran.

Morocco kemudiannya memiliki peluang baik untuk membuka tirai jaringan menerusi rembatan Noussair Mazraoui pada minit ke-33 namun percubaan beliau mudah diselamatkan oleh Unai Simon. Separuh masa pertama tamat dengan keputusan 0-0.

Memasuki separuh masa kedua, kedua-dua pasukan mengekalkan rentak menyerang bagi mencari gol awal namun ketumpulan di bahagian serangan menjadi punca tiada gol yang berjaya dihasilkan. Dani Olmo hampir menjaringkan gol bagi Sepanyol namun sepakan percuma beliau berjaya diselamatkan oleh Yassine Bounou. Sama seperti aksi Jepun menentang Croatia, perlawanan terpaksa diheret ke masa tambahan bagi mencari pemenang.

Sepanyol tampil lebih dominan pada masa tambahan dimana mereka menguasai permainan dan tidak membenarkan Morocco untuk melancarkan gerakan serangan. Skuad kendalian Luis Enrique itu hampir memperoleh gol kemenangan namun percubaan Pablo Sarabia di sebelah kanan terkena palang dan penentuan sepakan penalti terpaksa digunakan bagi menentukan pasukan mana yang mara ke suku akhir.

Bounou menjadi wira Singa Atlas dimana beliau berjaya menyelamatkan tiga sepakan penalti lawan yang diambil oleh Sarabia, Carlos Soler dan ketua pasukan, Sergio Busquet. Achraf Hakimi kemudiannya menjaringkan penalti kemenangan dengan gaya panenka sekaligus menjadikan Morocco satu-satunya wakil dari benua Afrika yang mara ke peringkat suku akhir dalam saingan edisi kali ini.

Bagi Sepanyol, mereka mengulangi kekecewaan ketika temasya edisi 2018 dimana pasukan itu turut tersingkir pada peringkat 16 pasukan terakhir yang menyaksikan juara edisi 2010 itu tewas kepada tuan rumah, Rusia juga menerusi sepakan penalti.