Morocco dan Croatia terpaksa berpuas hati dengan satu mata apabila terikat 0-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan F Piala Dunia Qatar 2022 di Stadium Al Bayt, sebentar tadi.

Croatia yang pernah muncul sebagai naib juara Piala Dunia 2018 diketuai oleh bintang tengah Real Madrid, Luka Modric.

Walaupun mereka kehilangan beberapa pemain utama yang membarisi skuad 2018 seperti penyerang Mario Mandzukic dan pemain tengah Ivan Rakitic, namun Croatia sebuah pasukan yang tidak ketandusan bakat baharu.

Dalam perlawanan itu, deretan peluang terhidang gagal disudahkan oleh kedua-dua pasukan sekaligus memaksa kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.

Tambahan pula, kedua-dua pasukan bermain dengan agak berhati-hati untuk mengelakkan sebarang kesilapan mudah.

Separuh masa kedua menyaksikan beberapa pertukaran pemain telah dilakukan untuk membantu mengandakan asakan ke kubu lawan masing-masing. Abdessamad Ezzalzouli muncul sebagai pemain paling muda diturunkan pada perlawanan ini pada usia 20 tahun.

Pada minit ke 65, Morocco nyaris menjaringkan gol pertama menerusi sepakan percuma namun penjaga gol Croatia, Dominik Livakovic beraksi cemerlang menepis percubaan tersebut.

Croatia juga memperolehi peluang terbaik pada minit ke 80 namun hantaran bola tinggi Luka Modrid gagal ditanduk masuk oleh Brozovic.

Bagaimanapun, perlawanan tersebut jelas hambar apabila tidak banyak percubaan berbahaya dilakukan oleh kedua-dua pasukan walaupun pengadil telah memberikan masa tambahan sebanyak 6 minit.

Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Selepas ini Croatia akan bertemu Kanada pada 27 November manakala Morocco dijadualkan menentang Belgium di stadium Al Thumama.