Skuad kebangsaan Singapura menamatkan kem latihan pusat di Dubai dengan kekalahan besar 7-1 kepada Morrocco ‘A’ dalam perlawanan persahabatan semalam. Ini adalah aksi kedua selepas mereka tewas 2-1 kepada Kyrgyzstan pada minggu lepas sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020.

Morroco ‘A’ adalah pasukan yang dibentuk untuk menghadapi Kejohanan Afrika (CHAN) dan dibarisi oleh pemain terbaik daripada liga domestik. Walaupun pasukan yang berada di ranking FIFA ke 29 dunia itu tidak menurunkan skuad utama, namun mereka tetap memberikan tentangan hebat kepada Singapura.

Bagaimanapun, skuad kendalian Tatsuma Yoshida itu berjaya memperolehi gol sagu hati menerusi Nazrul Nazari pada minit ke 88 selepas menerima hantaran daripada Faris Ramli.

“Ia adalah pengalaman yang sukar dan kekalahan meninggalkan rasa pahit. Morocco A adalah pasukan terkuat yang kami hadapi sejak saya menjadi jurulatih Singapura. Mereka berada dalam kelas yang berbeza tetapi ini adalah pengalaman yang berguna kepada pemain,” kata Tatsuma dalam kenyataan rasmi.

Dalam perlawanan itu, Tatsuma menurunkan beberapa pemain dari Liga Singapura tanpa kelibat tonggak utama seperti Safuwan Baharudin, Irfan Fandi dan Zulfahmi Arifin yang telah kembali ke kelab masing-masing.

Sementara itu, Tatsuma yakin anak buahnya akan mempamerkan prestasi yang lebih baik dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 kerana mereka telah melakukan persiapan lebih awal sejak bulan lalu.

“Hari ini adalah peluang terbaik untuk bermain menentang lawan yang kuat dan kami tidak terlalu risau (mengenai keputusan),” katanya.

“Ia merupakan kem latihan yang baik dan kami perlu membina semua yang kami telah pelajari di sini. Semasa kami menantikan Piala Suzuki, kami perlu memberi tumpuan sepenuhnya pada fasa persiapan terakhir apabila kami kembali kerana pasukan sedar peminat letak harapan tinggi dalam kejohanan itu.” tamabahnya.

Singapura dijadualkan menentang Myanmar dalam perlawanan pembukaan pada 5 Disember 2021. Selain Myanmar, mereka turut berada satu kumpulan dengan Thailand, Filipina, dan Timor Leste.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Piala Suzuki AFF melalui pautan dibawah. 

Indonesia Berkampung Di Turki Buat Persiapan Hadapi Piala Suzuki AFF 2020

Stadium Nasional Dan Stadium Bishan Dipilih Sebagai Venue Rasmi Piala Suzuki AFF 2020

Park Hang-seo Anggap Undian Piala AFF Biasa Saja, Tiada Yang Istimewa