Kelincahan serta kemampuan hebat dalam menyudahkan peluang terhidang menjadikan Mohd Jaya Kassim sebagai antara penyerang berbisa pernah dilahirkan pasukan Sabah.

Gandingannya di jentera serangan bersama peledak import kelahiran Australia, Scott Ollerenshaw  dan Suharmin Yusof jelas menjadi igauan ngeri buat para pemain pertahanan dan penjaga gol pasukan lawan.

Sudah pasti kejayaan muncul juara Liga Perdana 1996 menjadi daya penarik membuatkan para penyokong bola sepak tempatan mengenang kembali kehebatan trio serangan ini.

Hakikat itu turut diakui sendiri oleh Jaya Kassim yang turut sama berkongsikan pendapat ikhlasnya berkenaan persefahaman bersama Ollerenshaw dan Suharmin.

“Gandingan kami bertiga memang begitu serasi. Kami jelas amat memahami antara satu sama lain serta masing-masing turut mempunyai kemahiran individu yang tinggi,” ujar beliau bercakap kepada wakil Vocket FC.

“Semangat para pemain Sabah pada ketika itu juga sangat kuat. Kami memliki pemain-pemain yang berkebolehan serta taktik dan taktik yang dicurahkan oleh jurulatih dapat diserap dengan baik oleh para pemain ketika beraksi.”

Tahun tersebut juga menyaksikan Sabah turut layak ke perlawanan akhir Piala Malaysia tetapi skuad yang ketika itu dibimbing Ronald Smith kecewa menerusi penentuan sepakan penalti ditangan Selangor.

Mula menyertai skuad utama Sabah pada musim 1996 selepas tiga tahun menimba pengalaman bersama pasukan Liga Simpanan [Piala Presiden], Jaya Kassim tampil dengan pakej lengkap sebagai seorang penyerang berbekalkan dengan kelincahan, kawalan bola yang cukup baik serta memiliki larian deras sekali gus menjadi masalah kepada pemain pertahanan lawan.

Ketika kemuncak prestasinya, Jaya Kassim turut pernah menarik minat Perak dan Pulau Pinang pada musim 1998 untuk mendapatkan khidmatnya tetapi rasa cinta yang sangat menebal terhadap negeri kelahiran membuatkan beliau memilih untuk terus kekal di Sabah.

Mengumumkan persaraan pada tahun 2002 atas kehendaknya sendiri, anak kelahiran Kg. Sungai Imam, Tawau itu kini berkhidmat di Lembawa Sukan Negeri Sabah, Keningau sebagai Pembantu Pegawai Tadbir (Pengkeranian Operasi) sejak 2009.

Mohd Jaya Kassim dari kaca mata Khairul Azman Mohamed

Rakan sepasukannya yang merupakan legenda penjaga gol Sabah, Khairul Azman Mohamed mendedahkan disiplin tinggi menjadi antara kekuatan buat Jaya Kassim sepanjang kariernya.

“Jaya Kassim merupakan seorang pemain yang memiliki larian yang pantas. Dia juga menunjukkan disiplin yang tinggi ketika di sesi latihan dan juga di luar padang.”

“Selain itu, dia sentiasa mematuhi arahan yang diberikan jurulatih serta akan memberikan komitmen tinggi setiap kali beraksi,” tambah Khairul Azman lagi.

Seorg pemain yg memiliki larian yg pantas,disiplin yg tinggi melalui latihan dipdg dan juga luar pdg.sentiasa mematuhi arahan jurulatih dan memberi komitmen yg tinggi setiap perlawanan.

Penutup

Meskipun tidak banyak kejayaan diraih serta perjalanan kariernya amat singkat,  tetapi dengan apa yang dijelmakan sudah cukup untuk mengatakan Mohd Jaya Kassim merupakan antara legenda buat para penyokong Sabah.

Kata-kata yang dikongsikan oleh Jaya Kassim dalam menggambarkan perjalanan kariernya dalam bola sepak amat menarik untuk direnung oleh para pemain pada ketika ini.

“Bagi saya, tidak ada kepayahan dalam usaha kita mencapai impian sekiranya kita ada kemahuan dan dikurniakan bakat sedia ada.”