Mohammed Mahmoud Ghaddar, nama ini cukup dikenali dalam kalangan peminat bola sepak tempatan. Beliau adalah antara pemain import yang telah lama beraksi dalam Liga Malaysia sejak tahun 2012 dengan pasukan Kelantan, Felda United dan musim lalu bersama Johor Darul Ta’zim (JDT).

Bagaimanapun, belum diketahui pasukan manakah yang bakal disertai oleh pemain yang berusia 36 tahun itu pada musim 2020 selepas dilepaskan oleh JDT kerana faktor usia dan prestasi.

Sepanjang beraksi dalam saingan Liga Malaysia, Ghaddar telah merekodkan lebih 50 gol dan meraih 7 kejuaraan dalam saingan domestik antaranya Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Cabaran bersama pasukan Kelantan dan JDT.

GHADDAR
Grafik: VocketFC

“Saya sangat berpuas hati sepanjang berada di Malaysia. Memenangi 7 kejuaraan domestik dan dipilih sebagai pemain terbaik sebanyak dua kali di negara asing merupakan sesuatu yang sangat membanggakan.

“Ramai pemain bagus dari Lubnan datang ke Malaysia tetapi tidak kekal lama kerana mereka tidak serasi dengan sistem bola sepak di sini. Secara jujurnya, saya juga mengalami sedikit kesukaran apabila menyertai Kelantan buat kali pertama, tetapi saya berjaya membantu mereka memenangi pelbagai kejuaraan.

“Itulah prestasi hebat yang membantu saya untuk kekal bermain di Malaysia selama 7 tahun,” kata Ghaddar dalam satu temubual eksklusif dengan FA Lebanon.

Selain Ghaddar, seorang lagi pemain import dari Lubnan yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia musim lepas ialah Hussein Eldor daripada pasukan Perak. Namun begitu, khidmatnya tidak disambung pada musim ini walaupun berjaya bantu skuad kendalian Mehmed Durakovic mara ke perlawanan akhir Piala FA.

Musim ini, Pahang juga sedang menanti ketibaan pemain import terbaru dari negara tersebut iaitu Khalil Khamis yang merupakan salah seorang pemain dalam skuad Al Ahed FC menjulang Piala AFC Cup 2019.

PSM
Aksi Hussein Eldor ketika mewakili pasukan Perak. Sumber Gambar: Goal.com

Saingan Liga Malaysia pada musim 2019  benar-benar menguji mental Mohammed Ghaddar apabila beliau bergelut untuk tingkatkan prestasi selepas pulih daripada kecederaan ACL yang dialami ketika bersama skuad The Red Warriors.

“Selepas pulih daripada kecederaan ACL pada tahun 2018, saya menyertai pasukan Johor II, memenangi Piala Cabaran dan menjadi penjaring kedua terbanyak Liga Premier 2019. Itu musim yang sangat bermakna bagi saya.

“Liga Super Malaysia adalah antara liga yang sangat kompetitif dan sedang berkembang. Banyak kelab mempunyai kemudahan hebat setanding dengan mentaliti profesional mereka dan itulah sebabnya mereka kini bermain di AFC Champions League,” tambah Ghaddar.

Lebih menarik, Ghaddar turut menceritakan perbezaan yang ketara dalam Liga Lubnan dengan Liga Malaysia berdasarkan pengalamannya beraksi bersama kelab daripada kedua-dua negara tersebut.

“Bola sepak di Lubnan tidak akan berubah jika mentaliti pengurusan tidak berubah. Kami tidak mempunyai stadium yang bagus atau media yang baik. Liga Lubnan juga tidak berjaya tarik peminat ke stadium. Selain itu, tiada sistem yang baik, kukuh untuk bergerak maju.

“Liga Professional tidak sepatutnya mengimplikasikan dengan memberi satu kontrak kepada 3-4 orang pemain sahaja setiap kelab. Kita tidak akan jadi profesional dalam sejuta tahun pun.

“Mentaliti semua orang yang terlibat mesti berubah, sama ada pengurusan, kelab malahan pemain. Kami masih di bawah 0 pada ketika ini,” jelasnya.

218276_img650x420_img650x420_crop
FOTO: The daily Star

Bekas pemain kelab Nejmeh dan Al Ahly itu turut mengalakkan semua pengurusan kelab daripada Liga Lubnan datang ke Malaysia untuk belajar sesuatu dari segi kemudahan dan pengurusan bola sepak.

“Sebagai contoh di Malaysia, setiap pasukan mempunyai stadium tersendiri dan 2 atau 3 kemudahan latihan. Di Lubnan, kelab seperti Nejmeh bersemangat untuk memiliki penyokong yang ramai tetapi pada penghujung hari, pemain perlu bawa jersi dan membasuh sendiri selepas perlawanan,” katanya.

Mengulas mengenai perancanganya di masa hadapan, Ghaddar kemungkinan akan bersara daripada sukan bola sepak dan tidak akan pulang ke Lubnan sebaliknya terus menetap di Malaysia membesarkan anak-anaknya.

“Saya tidak akan kembali ke mana-mana kelab Lubnan selain Nejmeh. Kalau dipanggil pulang, saya hanya akan bermain dengan Nejmeh sahaja kerana kelab itulah yang telah membangunkan bakat saya. Saya maksudkan kelab Nejmeh bukan orang dalam pengurusan kelab itu.

“Saya memang merancang untuk bersara dan menjauhkan diri daripada sukan bola sepak. Saya ada urusan perniagaan yang perlu diselesaikan. Saya mahu tinggal di Malaysia tetapi tidak akan berjauhan dengan keluarga. Saya tak nak anak saya membesar dalam persekitaran yang kurang sihat di Lubnan,” ujar Ghaddar.

Baca artikel menarik tentang kisah pemain dan jurulatih bola sepak tempatan yang kami bawakan untuk anda melalui pautan dibawah.

Eksklusif: Jurulatih Dari Malaysia Ini Cerita Pengalamannya Mengendalikan Kelab Liga Indonesia

Eksklusif: Kiko Insa Buat Dua Kerja Sebagai Pemain Dan Ejen Bola Sepak

Eksklusif: Ambil Upah Kerja Gantung Banner, Mesin Rumput Dan Kerja Kampung Pilihan Untuk Survive Pemain Pasukan Perlis FA

Sumber
  • FA Lebanon