Pasukan Kedah melonjak ke tangga ketiga dalam carta Liga Super 2019 selepas menewaskan pasukan PKNS FC dengan keputusan 3-2 pada perlawanan yang diadakan di Stadium Shah Alam semalam.

Skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak terpaksa bangkit daripada ketinggalan sebanyak dua kali dalam perlawanan semalam sebelum pemain pertahanan, Rizal Ghazali menjaringkan gol pada minit-minit akhir permainan. Kemasukan pemain muda, Mohammad Fayadh nyata memberikan inspirasi kepada kebangkitan Kedah.

Sebelum bermulanya perlawanan, Aidil memutuskan untuk menurunkan Zaquan Adha dan Hidhir Idris bagi mengisi posisi sayap pasukan. Namun, Hidhir gagal untuk memberikan sebarang impak dan beliau dikeluarkan pada separuh masa kedua bagi digantikan dengan Fayadh.

Keputusan Aidil berbaloi apabila 10 minit selepas dimasukkan, Fayadh berjaya menjaringkan gol penyamaan. Larian solo serta rembatan dari jarak jauh nyata gagal disekat oleh benteng pertahanan PKNS FC sekaligus menewaskan penjaga gol mereka yang juga bekas pemain Kedah, Farhan Abu Bakar.

Kejayaan Mohammad Fayadh menyumbang jaringan untuk Kedah menjadi indikasi jelas bahawa pemain berusia 21 tahun ini wajar untuk diberikan peluang bagi membarisi kesebelasan utama skuad Lang Merah. Setelah kehilangan Akhyar Rashid yang berhijrah ke Johor Darul Ta’zim, Kedah masih belum menemui pemain yang boleh mengisi tempat yang ditinggalkan oleh Akhyar.

Fayadh mempunyai kualiti serta kebolehan yang dimiliki dan beliau menjadi antara pemain muda Kedah yang boleh menggantikan Akhyar. Dengan syarat beliau diberikan peluang serta ruang untuk membuktikan kebolehan yang dimiliki.