Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Bekas penyerang import sensasi, Mohamad Ghaddar tetap menganggap trofi Piala Malaysia sentiasa memberi seribu satu makna kepadanya sewaktu memenanginya pada musim 2012 dan 2017.

Walaupun berdepan momen yang berbeza dalam dua musim itu, ia tetap memberi kenangan bermakna kepada pemain kelahiran Lubnan ini yang tidak pernah melupakan detik manis itu.

Ini kerana, pada musim 2012 Ghaddar tidak dapat beraksi di pentas final Piala Malaysia kerana digantung perlawanan dan hanya menyaksikan pertembungan Kelantan dan ATM sebagai penonton sahaja.

Manakala pada musim 2017, dia hanya memanaskan bangku simpanan ketika bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Kedah di Stadium Shah Alam.

Meskipun begitu, Ghaddar tetap merasakan kejayaan memenangi kejohanan tertua di Asia Tenggara ini memberikan elemen yang berbeza kepada dirinya meskipun tidak berkesempatan mempertaruhkan aksi di pentas final.

“Musim pertama berada di Malaysia, masa itu saya datang ke Malaysia dan tidak tahu apa-apa mengenai negara ini dan liga bola sepak di sini.

“Sehinggalah jurulatih Bojan Hodak waktu itu banyak membantu, beliau katakan saya pemain yang bagus dan kita semua akhirnya sama-sama berjaya menang semua trofi dalam satu musim untuk meraih Treble.

“Masa final 2012, saya pulang ke Lubnan dan hanya menonton siaran langsung di televisyen sahaja, memang rasa lain apabila hanya mampu tengok sedangkan rakan lain sedang bermain.

“Tetapi 2017, walaupun saya tak main, tapi sekurangnya saya dapat rasa aura di Stadium Shah Alam waktu itu dipenuhi ramai penyokong, saya tetap gembira apabila kami menjulang trofi.

“Memandangkan saya akan berada lebih kurang sebulan lagi di Malaysia sekarang, insyaAllah saya nak juga tengok aksi Piala Malaysia tahun ini sebab dah lama tidak rasa aura di sini”, katanya kepada MFL.

Kali terakhir Ghaddar beraksi di pentas Liga Malaysia adalah pada musim 2019 ketika bersama JDT dan seterusnya kembali ke Lubnan untuk beraksi bersama kelab Nejmeh FC.

Bercakap mengenai kelab di Liga Malaysia musim ini, penjaring terbanyak Liga Super 2017 itu menyifatkan Kuala Lumpur City FC dan JDT antara yang sentiasa menjadi perhatian.

Bahkan, dia turut berbangga dengan kredibiliti Hodak yang berjaya memacu pasukan itu ke pentas Asia dan selayaknya diberi pujian.

Juga dengan sejarah yang dilakar JDT untuk menjulang trofi Liga Super buat kali kesembilan adalah sesuatu yang luar biasa.

“KL City satu pasukan yang bagus, mereka sentiasa memberi elemen kejutan dan saya rasa Hodak memang melakukan tugas yang menakjubkan untuk pasukan itu.

“Juga JDT sentiasa menarik perhatian sebab kita semua tahu mereka adalah pasukan yang besar dan ada ramai pemain berkualiti.

“Ia bukan berita yang baru untuk tengok JDT menang sebab mereka sentiasa melakukan sejarah di liga ini”, katanya.