Malaysian Football League (MFL) semalam mengumumkan permohonan untuk kebenaran makan dan minum di stadium serta tambahan kapasiti penonton bagi aksi final TM Piala Malaysia 2021 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 November 2021 telah ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam perkara itu telah dimaklumkan kepada MFL oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

“Melalui surat yang diterima oleh pihak MFL, KBS telah membentangkan permohonan tersebut bagi pertimbangan Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 Bilangan 8 Tahun 2021 pada 16 November 2021.

“Sehubungan itu, mesyuarat memutuskan yang aktiviti makan dan minum dalam kalangan penonton atau penyokong termasuk di kotak korporat (corporate box) adalah tidak dibenarkan.

“Seterusnya, kapasiti kehadiran penonton adalah kekal seperti ditetapkan di bawah standard operasi prosedur (SOP) Am Sektor Sukan dan Rekreasi di kawasan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 laitu 50 peratus kapasiti tempat duduk atau 20,000 orang (yang mana lebih rendah).

“Ketetapan ini adalah dengan mengambil kira penilaian risiko semasa dan KBS akan memaklumkan kepada MFL sekiranya terdapat perubahan daripada semasa ke semasa,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Susulan daripada keputusan MKN ini, Stuart berkata, pihaknya dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) merancang untuk menyediakan satu tapak khas bagi penjaja kendera saji (Food Truck) di perkarangan stadium untuk memudahkan penonton makan dan minum sebelum masuk ke dalam stadium bagi menyaksikan perlawanan akhir itu nanti.

“MFL terpaksa akur dengan keputusan MKN ini dan kami mendengar keluhan penonton yang berharap agar mereka dibenarkan makan dan minum di dalam stadium. Namun dengan larangan ini, pihak MFL akan berusaha untuk menyediakan kemudahan makan dan minum di luar stadium sebelum penonton masuk ke dalam stadium.

“MFL bersama PSM merancang untuk menyediakan tapak kepada penjaja ‘food truck’ di luar stadium untuk membolehkan penonton dapat makan dan minum dahulu sebelum menyaksikan perlawanan akhir itu nanti,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah. 

Gagal Patuhi SOP, Terengganu FC Dan MFL Dikenakan Kompaun RM10,000

Piala Malaysia 2021: Kuala Lumpur City Dihukum Bermain Tanpa Penonton

Lim Teong Kim Calon Ketua Jurulatih Sri Pahang

TMJ: “Kalau Setakat Upgrade Fasiliti Sikit, Jual Baju Dan Buat Video, Real Chukai FC Pun Boleh Buat.”