Menteri Kanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebentar tadi telah mengeluarkan kenyataan bahawa Majlis Keselamatan Negara (MKN) kekal dengan keputusan menangguhkan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 atas faktor kesihatan dan keselamatan rakyat.

Ia bermakna rayuan Malaysia Football League (MFL) untuk meneruskan aksi suku akhir Piala Malaysia di negeri berkecuali PKPB iaitu Pahang dan Kelantan pada minggu depan telah ditolak atas nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Sebelum ini saya dah umumkan bahawa kita menangguhkan Piala Malaysia demi keselamatan bukan sahaja pemain- pemain tetapi apabila berada di sesuatu negeri, ianya dibimbangi akan merebak ke tempat lain.

“Hari ini kita mendengar rayuan daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kalau boleh dibenarkan, setelah berbincang, kita dapati bahawa bahaya jangkitan itu boleh berlaku ditengah padang apabila terdapat sentuhan,” jelas Ismail Sabri.

Ismail turut meminta maaf kepada para peminat bola sepak tanah air dan menjelaskan keputusan itu terpaksa dibuat bagi mengelakkan peningkatan kes COVID-19 di negara.

“Saya minta maaf kepada peminat-peminat bola sepak yang begitu ramai di seluruh negara, bukan kita sengaja untuk membatalkan tetapi atas nasihat Kementerian Kesihatan, menjaminkan kesihatan adalah lebih utama, jadi kita terpaksa tidak membenarkan [Piala Malaysia berlangsung]”, tambahnya.

Sepertimana yang semua sedia maklum, kontrak pemain akan tamat pada hujung November ini.  Pasukan terpaksa menanggung kos jutaan ringgit untuk membayar gaji dan lanjutan kontrak.

Maka jika ditangguhkan, MFL kemungkinan terpaksa mengambil keputusan untuk membatalkan saingan TM Piala Malaysia 2020 dan satu lagi slot AFC Cup 2021 bakal diberikan kepada Terengganu FC selalu pasukan tempat ketiga CIMB Liga Super 2020.

Baca artikel lain mengenai isu Piala Malaysia 2020 melalui pautan dibawah. 

TM Piala Malaysia 2020 Perlu Tangguh Atau Batal Sebenarnya? Slot AFC Cup 2021 Milik Terengganu?

MFL Buat Rayuan Kepada MKN Teruskan Piala Malaysia Dengan Perancangan Khas Dan SOP Ketat

Faktor Utama Mengapa Saingan Piala Malaysia Musim Ini Wajar Diteruskan